Siraj Mohd Zaini


KELUARGA yang memuatnaik nota di Facebook (FB) mengandungi maklumat dakwaan cubaan menculik di hadapan Sekolah Agama Bukit Kapar Barat, Klang, sudah membuat laporan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, laporan dibuat di Balai Polis Sungai Kapar, kira-kira 6 petang.

Menurutnya, sehingga kini polis sudah mengambil keterangan daripada empat individu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati kejadian berlaku kelmarin apabila dua van putih yang dinaiki lapan suspek didakwa berhenti berhampiran sekolah agama berkenaan.

“Dua daripada suspek mendekati kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di hadapan sekolah itu sebelum diselamatkan orang awam,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian tiada pengawal keselamatan di sekolah berkenaan.

“Polis sedang mengesan individu yang didakwa terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat dan melihat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan murid dikenali sebagai Nurul Wahidah Abdul Rahman mendakwa dirinya hampir menjadi mangsa penculikan.

Ketika kejadian jam 10.30 pagi itu, dia baru saja menghadiri kelas tambahan dan terdapat seorang lelaki membantu murid berkenaan daripada diculik ketika itu.

Nota tulisan tangan itu tular di FB sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah berkenaan dan kawasan berhampiran.

Berita berkaitan

'Sila buat laporan polis'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 3:03 PM