NOTA tular di media sosial mengenai kejadian cubaan culik di hadapan Sekolah Agama Bukit Kapar Barat, Klang, semalam.
NOTA tular di media sosial mengenai kejadian cubaan culik di hadapan Sekolah Agama Bukit Kapar Barat, Klang, semalam.
Nur Lela Zulkipli


POLIS sudah mengesan keluarga memuatnaik di laman sosial nota mengandungi maklumat dakwaan cubaan menculik di hadapan Sekolah Agama Bukit Kapar Barat, Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima laporan polis berhubung perkara berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, kami sudah mengenalpasti keluarga itu dan meminta mereka tampil membuat laporan polis hari ini.

“Selepas laporan polis dibuat, kami akan mulakan siasatan,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Dalam nota berkenaan, Nurul Wahidah Abdul Rahman mendakwa dia hampir menjadi mangsa penculikan di hadapan Sekolah Agama Bukit Kapar Barat, pada 10.30 pagi semalam.

Lapan individu menaiki dua van putih disyaki melakukan kegiatan itu semasa murid terbabit sedang menunggu penjaga di luar kawasan sekolah.

Difahamkan, ketika kejadian, murid baru saja menghadiri kelas tambahan dan terdapat seorang lelaki membantu murid berkenaan daripada diculik ketika itu.

Nota berkenaan tulis dengan tulisan tangan turut tular di laman Facebook sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah berkenaan dan kawasan berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 5:41 PM