SUSPEK ditahan bersama kad OKU, Mykad dan sejumlah dadah bernilai RM900. FOTO IHSAN PDRM
SUSPEK ditahan bersama kad OKU, Mykad dan sejumlah dadah bernilai RM900. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI lumpuh sebelah kanan badan ditahan polis di rumahnya di Kampung Bukit Choras Dalam, Pendang, kerana dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang jam 1.30 petang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, ketika serbuan suspek berada di atas katil bilik rumah dan sejumlah dadah ditemui berhampiran suspek.

Menurutnya, polis menemui satu beg kain mengandungi dua paket besar plastik dan 18 keratan penyedut minuman berisi heroin dengan anggaran berat 22.10 gram

“Selain itu, polis turut menemui tiga paket plastik dan satu keratan penyedut minuman mengandungi syabu dianggarkan seberat 1.70 gram, alat penimbang digital dan gunting besi.

“Turut ditemui dalam beg sekeping kad OKU dan Mykad milik suspek,” katanya.

“Nilai keseluruhan dadah dirampas bernilai RM900,” katanya

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morphine.

“Suspek masih bujang dan dipercayai baru dua bulan bergiat aktif dalam kegiatan itu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 6:46 PM