KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
Khairul Najib Asarulah Khan


LELAKI maut dalam keadaan tragis apabila digilis treler hingga menyebabkan tubuhnya hancur di Jalan Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan bulatan Billion menghala ke Jalan Kuari, Cheras, hari ini.

Dalam kejadian 3.32 petang itu, mangsa berusia 61 tahun yang menunggang motosikal maut di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, ketika melalui jalan itu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh berdekatan tayar belakang treler terbabit.

Katanya, kejadian mengakibatkan mangsa digilis treler 65 tan berkenaan yang dipandu lelaki berusia 56 tahun.

“Pemeriksaan mendapati pemandu itu mempunyai lesen yang sah, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ranger Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Zul-Atfi Abdul Wahid Amin yang turut berada di lokasi kejadian turut membantu pihak polis mengutip cebisan mayat mangsa.

Katanya, bahagian bawah pinggang mangsa hingga kaki hancur akibat kemalangan itu.

“Malah, sebahagian tubuh dan kepala mangsa berada di bawah treler berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 10:07 PM