Ramli Ibrahim

SEBANYAK 13 kematian Orang Asli Kaum Batik di Kuala Koh, Gua Musang dipercayai menghidap penyakit tibi dan kuman di paru-paru pada Mei sehingga kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Taufik Maidin berkata, pihaknya menerima dua laporan daripada Orang Asli membabitkan jangkitan kuman di paru-paru atau pneumonia.

“Hasil bedah siasat di Hospital Gua Musang mendapati seorang lelaki berusia 30 tahun meninggal dunia pada 29 Mei lalu dan wanita berusia 21 tahun meninggal dunia jam 4 petang kelmarin disebabkan jangkitan kuman di paru-paru.

“Siasatan juga mendapati ramai lagi penduduk menghidap jangkitan kuman di paru-paru dan dipercayai tibi termasuk 31 orang yang sedang menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebahagian kini menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan dua daripadanya yang kritikal dihantar ke Hospital Kuala Krai.

Katanya, selebihnya menerima rawatan di Klinik Kesihatan Aring 1 dan Klinik Kesihatan Chiku 3 sebagai pesakit luar.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 4:58 PM