Keadaan van pekerja yang terbabit kemalangan di Jalan Seelong, FELDA Ulu Tebrau, petang ini.
Keadaan van pekerja yang terbabit kemalangan di Jalan Seelong, FELDA Ulu Tebrau, petang ini.
Mary Victoria Dass

ENAM cedera termasuk dua parah dalam kemalangan membabitkan van pekerja dengan Perodua Kenari di Jalan Seelong, FELDA Ulu Tebrau, petang ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor berkata, mangsa yang parah dalam kejadian kira-kira 6.40 petang itu adalah pemandu kedua-dua kenderaan, manakala empat yang mengalami kecederaan adalah penumpang van kilang.

Katanya, pihaknya menghantar sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, van pekerja terbabit dari arah Pasir Raja ke Senai manakala Perodua Kenari dari Seelong ke Felda Ulu Tebrau.

Katanya, kedua-dua kenderaan bertembung hingga mengakibatkan pemandu cedera parah dan dikejarkan ke hospital berhampiran.

"Anggota bomba mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan semua mangsa dari dua buah kenderaan dan memberikan rawatan asas.

"Semua mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan seterusnya dan operasi tamat pada 7.55 petang," katanya.

Katanya, pemandu Perodua Kenari dikenali sebagai Ali Othman Jubak, 53, yang berasal dari 67, Jalan Songket 3, Taman Anjaria, Kulai san berstatus penduduk tetap.

Manakala pemandu van dikenali sebagai Zaini Atan, 56, pula berasal dari 100A, Felda Bukit Besar, Kulai.

"Punca kejadian masih dalam siasatan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 10:27 PM