Paip utama yang pecah di tepi jalan Kampung Ayer Limau. FOTO Hassan Omar
Paip utama yang pecah di tepi jalan Kampung Ayer Limau. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


RIBUAN pengguna di Masjid Tanah, Alor Gajah terjejas akibat terputus bekalan air berikutan paip utama pecah di Kampung Ayer Limau hari ini.

Difahamkan, pengguna bekalan air yang terjejas adalah dari Kampung Ayer Limau, Seberang Perai, Paya Rumput, Pekan Masjid Tanah serta Londang.

Selain itu Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) di Londang, Taman Bidara Indah, Kawasan Perindustrian Masjid Tanah di Pengkalan Balak dan Air Hitam Darat yang didakwa mengalami gangguan bekalan itu sejak 9 pagi tadi.

Tinjauan di Kampung Ayer Limau mendapati paip utama di bawah jalan utama Pekan Masjid Tanah - Alor Gajah berhampiran rumah penduduk pecah menyebabkan air membanjiri perkarangan rumahnya.

Abdul Aziz Ali, 47, berkata, dia terkejut apabila terdengar letupan kecil dari arah jalan berhampiran rumah ibu saudaranya dikenali Mak Su Halimahton.

“Hampir setiap malam saya tidur dalam wakaf atau pondok di depan rumah Mak Su dan saya terdengar letupan kecil di tepi jalan 3 pagi tadi sebelum mendapati air keluar membuak-buak.

“Saya mengejutkan Mak Su dan anak lelakinya berusia 20-an apabila mendapati air mengalir ke perkarangan rumah tetapi tidak masuk ke dalam rumah kerana ia terus mengalir ke longkang besar,” katanya ditemui di lokasi hari ini.

Bagi mengelakkan tebing jalan runtuh akibat hentaman air kuat, Abdul Aziz segera membuat laporan di pejabat Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB) cawangan Masjid Tanah 8.30 pagi tadi.

Pengguna, Abdul Salam Mohd Hanafiah, 62, berkata, dia terkejut apabila mendapati tiada air ketika mahu membasuh pinggan mangkuk di rumahnya di Taman Bidara Indah.

Dalam pada itu, SAMB dalam kenyataannya berkata, kerja pembaikan paip utama itu dimulakan 9.45 pagi tadi dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 6:51 PM