GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Hafizee Mohd Arop


TANDA tanya bau busuk dihidu penduduk di Taman Seri Bayas di Pengkalan Hulu, terjawab apabila mayat wanita warga emas ditemui dalam keadaan terbaring di hadapan pintu bilik utama rumahnya, semalam.

Difahamkan, mangsa berusia 66 tahun dipercayai sudah meninggal dunia lebih tiga hari berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau dan kehitaman.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu 6.20 petang dari jiran mangsa yang memaklumkan terhidu bau busuk dari rumah wanita berkenaan.

Katanya, anggota yang tiba kemudiannya memasuki rumah terbabit sebelum menemui seorang wanita terbaring di dalam rumah itu dan pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

“Rumah berkenaan didiami mangsa seorang diri kerana anak perempuannya belajar di Shah Alam, Selangor.

“Pemeriksaan dibuat mendapati tiada barang berharga yang hilang dan tiada kesan dipecah masuk pada rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkepli berkata, hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah ditemui pada mayat mangsa dan kematiannya dipercayai akibat komplikasi penyakit dihidapinya.

“Menurut adik mangsa, kakaknya sudah lama mengalami penyakit kencing manis, darah tinggi serta kolesterol tinggi dan mendapat rawatan di klinik swasta di pekan Pengkalan Hulu.

“Punca kematian adalah dipercayai dari komplikasi dari penyakit berkenaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat,” katanya.

Menurut Zulkepli, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 8:57 AM