K. Ga, 54, maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh bas yang ditinggalkan di lokasi kejadian akibat rosak di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru- Ayer Hitam. FOTO Facebook JB Traffic Report
K. Ga, 54, maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh bas yang ditinggalkan di lokasi kejadian akibat rosak di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru- Ayer Hitam. FOTO Facebook JB Traffic Report
Mohd Sabran Md Sani


LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh bas yang ditinggalkan di lokasi kejadian akibat rosak di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru- Ayer Hitam di Johor Bahru, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kejadian 5.45 petang itu mengakibatkan mangsa, K Ga, 54, maut ditempat kejadian akibat parah pada tubuhnya.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal ditunggang mangsa dari arah Senai ke Johor Bahru bergerak dalam keadaan lurus di laluan ke pusat bandar raya itu.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan ditunggang mangsa hilang kawalan dan melanggar belakang bas,” katanya ketika mengesahkan kemalangan itu.

Katanya, akibat kejadian itu mangsa parah pada beberapa bahagian tubuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika bas yang rosak ditinggalkan di tempat kejadian.

“Pada masa sama, pemandu bas berusia 56 tahun dan beralamat di simpang Jeram Tepi, Bakri, Muar, ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu tular kejadian memilukan membabitkan kemalangan maut penunggang motosikal di Skudai sejak malam tadi.

Malah tindakan pemandu bas terbabit tidak meletakkan kon di tepi jalan itu turut dipertikai netizen kerana ia menjadi punca kemalangan maut terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 12:38 PM