DARI kiri Guan Eng, Kon Yeow,  Pathmalingam, Christian  dan Pengarah Jualan IKEA Asia Tenggara, Mike King pada  perasmian  IKEA Batu Kawan, semalam. -Foto NSTP
DARI kiri Guan Eng, Kon Yeow, Pathmalingam, Christian dan Pengarah Jualan IKEA Asia Tenggara, Mike King pada perasmian IKEA Batu Kawan, semalam. -Foto NSTP
Audrey Dermawan


BATU KAWAN: IKEA Batu Kawan, cawangan pertama yang dibuka di rantau utara membuka pintunya secara rasmi, semalam.

Ia cawangan keempat jenama perabot Sweden di Malaysia selepas IKEA Damansara, IKEA Cheras dan IKEA Tebrau.

Setakat ini, ada lebih daripada 400 gedung IKEA di 50 negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, gedung itu ialah hasil pelaburan RM650 juta yang dibuat oleh IKEA.

“Pelaburan besar menonjolkan tahap keyakinan syarikat global yang terkenal di Malaysia. Ia menyumbang secara positif kepada ekonomi serantau,” katanya dalam ucapannya pada majlis perasmian, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Duta Sweden ke Malaysia, Dag Juhlin-Dannfelt, Pengarah Urusan IKEA Asia Tenggara, Christian Roejkjaer dan Pengurus IKEA Batu Kawan, Pathmalingam Arumugam.

PENGUNJUNG melihat barang jualan di IKEA Batu Kawan.
PENGUNJUNG melihat barang jualan di IKEA Batu Kawan.

Guan Eng berkata, pembangunan itu contoh perkongsian 4P, kerjasama antara orang awam, swasta, rakyat dan profesional.

“Saya harap kejayaan kita di Batu Kawan dapat diulang di negeri lain supaya kita dapat meningkatkan kualiti dan kuantum pertumbuhan ekonomi kita dapat dinikmati semua rakyat Malaysia.

“Saya gembira mengetahui cawangan IKEA ini dibina dengan pemikiran berterusan yang membuktikan kemampanan boleh menyumbang secara positif untuk membuat keputusan perniagaan yang menguntungkan.

“Dengan hampir satu juta isi rumah terletak dalam masa sejam perjalanan dari sini, pembukaan IKEA Batu Kawan membuka ruang baru untuk kegunaan swasta dan mewujudkan lebih 300 pekerjaan baharu untuk warga Pulau Pinang dan Kedah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 9:00 AM