Keadaan Sungai Tembeling di Kampung Bantai, Ulu Tembeling surut dan kering akibat cuaca panas yang melanda ketika ini. FOTO Roselan Ab Malek
Keadaan Sungai Tembeling di Kampung Bantai, Ulu Tembeling surut dan kering akibat cuaca panas yang melanda ketika ini. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


CUACA panas sejak bulan lalu menyebabkan Sungai Tembeling dan anak sungainya di daerah ini semakin kering sekali gus memberi kesan kepada perkhidmatan bot penambang dan ternakan ikan sangkar.

Tinjauan mendapati Sungai Tembeling yang menghubungkan Kuala Tahan dengan Kampung Bukit Mat Daling, Kampung Bantal, Kampung Sungai Kucing, Kampung Kuala Sat dan Kampung Pagi mulai kering dan menampakkan dasarnya.

Keadaan itu menyebabkan bot penambang sering terkandas di kawasan berpasir, selain ikan diternak dalam sangkar mati kerana suhu air sungai meningkat.

Pemandu bot penambang Kampung Bantal, Abu Bakar Ali, 54, berkata operasi bot dijangka terus lumpuh jika keadaan itu berterusan dan orang ramai mungkin terpaksa menggunakan jalan darat.

“Keadaan sungai menjadi cetek berlaku setiap tahun apabila musim panas dan diharapkan keadaan tidak berpanjangan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Penduduk Kampung Bantal, Japron Ali, 60, berkata perjalanan dari jeti Kuala Tembeling ke kampungnya boleh mengambil masa sehingga sembilan jam berikutan sungai cetek.

“Kami perlu menolak bot apabila tersangkut di kawasan berpasir, pada masa ini kebanyakan penduduk hanya menggunakan bot kecil untuk ke kampung.

“Penduduk ada pilihan menggunakan jalan darat kerana sudah ada jalan boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda untuk ke Jerantut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 8:44 PM