Mohd Izham Unnip Abdullah


KEMENTERIAN Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah meminta orang ramai melaporkan terus kepada pihak berkuasa jika ternampak sebarang perlakuan tidak sopan di tempat awam sama ada membabitkan orang tempatan atau pelancong.

Menterinya, Datuk Christina Liew, berkata, ia bagi memastikan pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap pelakunya demi menjaga imej dan budaya tempatan yang sangat mementingkan aspek kesopanan.

Katanya, dua perbuatan tidak sopan dilaporkan berlaku di Jalan Gaya, Kota Kinabalu dan Jalan Bundusan, Penampang, berdasarkan gambar dan video yang tersebar dalam media sosial beberapa hari lalu menimbulkan perasaan tidak senang orang ramai.

"Perbuatan seperti ini sangat tidak baik kepada imej negeri kita. Saya dimaklumkan pihak berkuasa sedang menyiasat kedua-dua insiden itu dan kita menunggu laporan sama ada ia membabitkan warga tempatan atau pelancong.

"Tindakan mesti diambil terhadap mereka (pelaku tidak sopan). Bagi pelancong, mereka diingatkan berulang kali supaya menghormati undang-undang dan budaya tempatan kita," katanya dalam satu kenyataan, di Kota Kinabalu.

Christina yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata demikian sebagai mengulas insiden membabitkan seorang lelaki memakai topi berjalan dalam keadaan bogel di tepi jalan raya di Jalan Bundusan, Penampang dan pasangan tidak berpakaian berpelukan dalam kolam air pancut di Jalan Gaya.

Beliau berkata, bagi pelancong, walaupun perbuatan itu adalah satu `prank' atau usikan, pelakunya tetap boleh dikenakan tindakan berdasarkan panduan berpakaian yang dikeluarkan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) pada tahun lalu.

"Jika perbuatan itu adalah satu `prank' oleh mana-mana individu, saya mahu mengingatkan bahawa mereka boleh dikenakan tindakan.

"Perkataan yang tepat ialah kesopanan. Tiada orang berjalan di khalayak awam dalam keadaan bogel hingga menyebabkan kekecohan orang ramai. Ia tidak boleh diterima di Sabah," katanya.

Semalam, gambar lelaki berjalan dalam keadaan bogel di Jalan Bundusan, Penampang, tular di laman sosial hingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Ia berlaku hanya beberapa hari selepas gambar pasangan lelaki dan perempuan berpelukan, tanpa berpakaian, dalam kolam air pancut di Jalan Gaya, yang tular dalam laman sosial hingga menimbulkan rasa kurang senang netizen.

Berita berkaitan:

  • 'Catwalk' sambil berbogel?
  • 'Aksi terlampau' dalam kolam
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 10:20 AM