Norrasyidah Arshad


MAHKAMAH Tinggi Shah Alam, hari ini mengarahkan suspek utama kes langgar lari seorang kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) di Shaftsbury Square, Cyberjaya, minggu lalu dilepaskan daripada tahanan reman serta-merta.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ab Karim Ab Rahman yang membenarkan permohonan semakan terhadap perintah reman membabitkan suspek turut memerintahkan dua lagi rakan suspek yang juga direman untuk dilepaskan sebelum 5 petang hari ini.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata, mahkamah mendapati permohonan dibuat bagi perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak menunjukkan bahawa suspek dilepaskan dahulu daripada tahanan reman terdahulu dan ditangkap semula.

“Ini menjadikan permohonan reman itu sambungan kepada reman kedua yang menyalahi Seksyen 117 (2) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ), ditambah lagi majistret tidak beri apa-apa sebab penahanan (reman). Ini bertentangan dengan Seksyen 117 (7) KPJ.

“Dengan ini mahkamah menyemak perintah dibuat oleh Mahkamah Majistret Sepang dan ketiga-tiga suspek dilepaskan serta-merta sebelum 5 petang hari ini,” katanya.

Terdahulu, enam peguam iaitu Dinesh Muthal, Jeremy Yinesh, Mohd Redzuan Mohd Yusof, Mehnagna Luckhmana, Nur Siti Fairuz Roslan dan Luqman Mazlan yang mewakili ketiga-tiga suspek itu membuat permohonan semakan terhadap perintah reman membabitkan anak guam mereka.

Sebelum ini, suspek utama iaitu seorang warga Libya berusia 23 tahun itu serta dua rakannya iaitu seorang lelaki warga Yaman, 22, dan lelaki warga Libya, 20, direman lima hari bermula Selasa lalu.

Semua direman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada 19 Oktober lalu, semua suspek terbabit ditahan di dua lokasi berasingan dan direman selama empat hari mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam kejadian langgar lari itu, mangsa, Wan Amirah Wan Alias, 31, parah dirempuh dan diseret sebuah kereta Hyundai di hadapan bangunan kedai Shaftbury Square, Cyberjaya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya,

Kereta suspek turut merempuh kereta Proton, Toyota Avanza, Perodua Myvi dan Honda City di lokasi sama sebelum melarikan diri.

Berita berkaitan

'Dah jadi kes bunuh [METROTV]'

'Suspek langgar lari direman [METROTV]'

'[UPDATE] Tiga lelaki, wanita ditahan'

[UPDATE] 'Tolong cari suspek langgar lari Wan Amirah'

'Mangsa langgar lari meninggal dunia'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 5:56 PM
MOHD Redzuan (kanan) dan Dinesh (kiri) dilihat di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini selepas mahkamah memerintahkan ketiga-tiga anak guam mereka dilepaskan daripada tahanan reman. FOTO Faiz Anuar.
MOHD Redzuan (kanan) dan Dinesh (kiri) dilihat di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini selepas mahkamah memerintahkan ketiga-tiga anak guam mereka dilepaskan daripada tahanan reman. FOTO Faiz Anuar.