ANGGOTA polis mengawal lalu lintas selepas seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Kulim-Mahang, Kulim, hari ini. FOTO Azahar Hashim
ANGGOTA polis mengawal lalu lintas selepas seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Kulim-Mahang, Kulim, hari ini. FOTO Azahar Hashim
Azahar Hashim


“KETIKA kejadian kami sedang melakukan kerja memotong rumput di bahu jalan sebelum tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat dari arah lori kami yang berada di bahu jalan.”

Begitu kata saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Ali, 20, mengenai kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Jalan Kulim-Mahang berhampiran lampu isyarat simpang ke Lebuh Perdana di Kulim Hi Tech, Kulim, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa Mohamad Alif Ridzuan Ahmad Shukri, 19, dari Sidam Kiri, Padang Serai meninggal dunia di tempat kejadian sementara adik lelakinya berusia 13 tahun yang membonceng motosikal hanya cedera ringan.

Menurut Ali, ketika itu dia sedang memotong rumput bersama rakannya di kawasan berhampiran sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah belakang lori yang berada di bahu jalan.

“Kami kemudian memeriksanya sebelum ternampak sebuah motosikal berada di bawah lori sementara penunggang motosikal tertiarap di tengah jalan dengan kesan darah yang banyak di bahagian kepala.

“Sementara seorang remaja lelaki berada di bahu jalan sedang menangis sebelum ditenangkan oleh orang ramai.

“Beberapa penuggang motosikal yang berada di tempat kejadian kemudian menghubungi ambulans untuk bantuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim Asisten Superintendan Ismail Atan berkata, mangsa bersama adiknya dalam perjalanan dari arah Kulim menghala ke Mahang.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa mengubah haluan dari kiri untuk masuk ke lorong kanan sebelum bergesel dengan sebuah lori ‘bonded’ yang datang dari arah sama.

“Akibat itu, mangsa terbabas dan terperosok di bawah sebuah lori lain yang berada di tepi jalan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 7:48 PM