Muhammad Yusri Muzamir

PENDEDAHAN Datuk Seri Najib Razak berhubung derma diterima daripada Kerajaan Arab Saudi disifatkan sebagai cerita dongeng dan tidak masuk akal, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menurutnya, ia berikutan bekas Perdana Menteri itu kini dikatakan mempunyai banyak masa terluang untuk membuat kenyataan sedemikian.

“Saya sebenarnya belum baca (kenyataan Najib berhubung derma diterima daripada Kerajaan Arab Saudi), biar saya baca dulu dan beri komen. Kalau tak, biar ia diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara atau mana-mana badan bertanggungjawab.

"Saya pun kadang-kadang tak faham dengan Najib, contohnya isu SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) dan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) atau kapal layar dan wang dia (Najib) yang dipindahkan daripada peti besi.

"Penjelasan ini bagi saya tak masuk akal, kadang-kadang kalau kita baca kisahnya macam kisah dongeng. Dia (Najib) sekarang sangat rajin, setiap hari ada tiga atau empat kenyataan dan kalau perlu saya akan buat kenyataan balas," katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Semalam, Najib buat pertama kali mendedahkan dokumen transaksi pemindahan wang bernilai dolar Amerika Syarikat AS$100 juta (RM415 juta) daripada Kerajaan Arab Saudi, pada tahun 2011.

Najib dilapor berkata, sebanyak dolar AS$ 20 juta dipindahkan daripada akaun Putera Faisal bin Turkey bin Al Saud, manakala dolar AS$80 juta pula dipindahkan daripada akaun Kementerian Kewangan Arab Saudi.

Beliau mendakwa, sumbangan itu bertujuan mengatasi kebimbangan penularan Arab Spring di Malaysia, selain dikatakan Almarhum Raja Abdullah meminta beliau untuk tidak mendedahkannya kepada umum.

Berita berkaitan:

Najib dedah dokumen RM2.6 bilion

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 6:55 PM