JAMILAH bersama besan sepakat menjaga Mohd Naqib (gambar kecil) yang kehilangan ahli keluarga dalam kemalangan, semalam. FOTO Ahmad Ismail
JAMILAH bersama besan sepakat menjaga Mohd Naqib (gambar kecil) yang kehilangan ahli keluarga dalam kemalangan, semalam. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


“KAMI bersama besan akan bersama-sama membesarkan cucu (Mohd Naqib Nizam, 9) kelak. Mudah-mudahan dia sembuh segera,” kata Jamilah Yahya, 76.

Jamilah, ibu kepada Nur Faizlin Jamaludin, 37, yang maut bersama suami dan dua anaknya dalam kemalangan semalam, berkata dia dan besannya, Mun Ahmad, 73, akan memastikan pembelajaran dan kebajikan cucu mereka itu terjamin di masa hadapan.

“Pada masa sama, kami akan mencari pendekatan terbaik berkongsi kasih sayang buatnya agar dia tidak berasa kesunyian kerana kehilangan ibu bapa dan juga adik-adiknya,” katanya ketika ditemui di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Raidiatul Mukminin di Kampung Alai, Segamat, hari ini.

Dalam kemalangan di Kilometer 176 Jalan Johor Baharu ke Seremban, jam 1.30 tengah hari, Nur Faizlin dan suaminya Nizam Daud, 51, serta dua anak pasangan itu, Nur Naqia, 6, dan Mohd Niaz, 2, maut di lokasi kejadian selepas kenderaan dinaiki dirempuh treler dari arah bertentangan.

Namun, Mohd Naqib cedera parah dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.

Jamilah berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan pasrah dengan ketentuan Maha Esa sekali gus mendoakan agar kesihatan cucunya pulih.

Katanya, selain itu dia akan berbincang bersama besannya untuk mencari cara terbaik untuk memberitahu kejadian menimpa ahli keluarganya.

Sementara itu, suami Jamilah, Jamaludin Jelani, 73, berkata, keadaan cucunya kini sudah stabil selepas pakar perubatan berjaya memberhentikan pendarahan dan kecederaan di bahagian hatinya.

Katanya, selain itu, kedua belah tangan cucunya turut patah akibat kemalangan terbabit.

“Saya dimaklumkan cucu diberikan pemantauan rapi dengan pelbagai peralatan perubatan dan hanya keluarga terdekat serta waris dibenarkan melawatnya,” katanya.

Berita berkaitan

Empat beranak satu liang lahad

Ikan baung, lais tinggal kenangan...

Empat beranak maut

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 4:21 PM