SEBAHAGIAN anak-anak Rumah Baiti Al-Jannah yang dijaga oleh Azizah.
SEBAHAGIAN anak-anak Rumah Baiti Al-Jannah yang dijaga oleh Azizah.
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Bukan calang-calang wanita yang bernama Azizah Mohd Rafi ini apabila seluruh hidupnya dicurahkan kepada 36 penghuni terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) dan anak tidak sah taraf demi melindungi dan memperjuangkan nasib golongan berkenaan sejak 2012.

Bukan saja menghabiskan hidupnya menjaga mereka, tetapi semua hasil perniagaannya diberikan kepada rumah kebajikan, Rumah Titian Baiti Al-Jannah, Rawang.

Ibu kepada lima anak berusia 37 tahun ini berkata, dia menjalankan perniagaan butik pengantin dan katering namun untuk menampung kos operasi tiga rumah kebajikannya berjumlah RM30,000 sebulan termasuk makan minum, sewa dan utiliti adalah tinggi.

“Pendapatan bulanan saya dianggarkan RM15,000 sebulan dan saya turut mengharapkan sumbangan orang ramai demi kelangsungan hidup 36 penghuni terdiri daripada 12 OKU manakala 24 lagi anak tidak sah taraf berusia tiga bulan hingga 27 tahun.

“Demi mereka, saya sanggup berkorban apa saja termasuk berusaha mencari wang supaya mereka dapat terus tinggal dan dilindungi oleh saya,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan penghuni di rumah kebajikannya akan menetap terus di situ manakala wanita OKU yang melahirkan anak masing-masing akan dijaganya sendiri.

“Saya mahu mereka rasa diri dihargai dan masih ada yang sayangkan mereka walaupun menjadi mangsa kekejaman saudara sendiri.

“Alhamdulillah, kebanyakan mereka kini sudah pulih dan kami menetap dalam rumah sebagai satu keluarga yang besar,” katanya.

Azizah berkata, walaupun ramai menganggap apa yang dilakukan seperti kerja sia-sia namun dia tidak kisah dan akan terus berbakti kepada mereka sepenuh hati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 11:38 AM