Halim Said; Izlaily Nurul Ain Hussein dan Mohd Fahmi Mohd Yusof


KUMPULAN The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) melancarkan portal gaya hidup vertikal buat wanita, Hijab & Heels sempena Festival Anggun Life di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA) di Johor Bahru, hari ini.

Majlis pelancaran portal www.hijabnheels.com disempurnakan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Farnida Ngah.

Hadir sama, Pengarah Urusan MPB, Datuk Kamal Khalid; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Pengurus Besar Gaya Hidup Wanita Vertikal, Angeline Tan Leng Ean.

Angeline berkata, tujuan portal itu diwujudkan untuk menarik minat wanita yang mempunyai keinginan tidak terbatas kepada kehidupan seharian.

DEMONSTRASI menggayakan hijab ketika pelancaran portal Hijab & Heels sempena Festival Anggun Life di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA) di Johor Bahru, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.
DEMONSTRASI menggayakan hijab ketika pelancaran portal Hijab & Heels sempena Festival Anggun Life di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA) di Johor Bahru, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.

“Di sinilah tempatnya wanita boleh mengikuti trend terkini dan cara bagaimana mencapai keyakinan diri lebih tinggi dan motivasi betul untuk berubah.

“Kami akan memberi pandangan dan nasihat terbaik untuk mereka menghadapi perubahan ini dengan jayanya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran itu.

Hijab & Heels adalah jenama platform digital pertama dilancarkan pasukan Gaya Hidup Wanita Vertikal NSTP yang terhasil daripada gabungan pasukan Jabatan Pengarang dengan Bahagian Pembangunan Produk dan Pengurusan Jenama.

Portal ini menyediakan penyelesaian gaya hidup menarik, trend gaya hidup terkini serta tips fesyen dan kecantikan yang bernafas baharu.

Antara kandungan dalam seksyen disediakan portal itu seperti kecantikan dan fesyen, kesihatan dan kecergasan, kekeluargaan serta makanan dan libur.

Menyasarkan wanita Islam berusia antara 18 hingga 45 tahun daripada pelajar dan eksekutif kepada pekerja profesional serta suri rumah, Hijab & Heels melengkapi keperluan harian wanita moden yang celik media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 8:59 PM
KAMAL (lima dari kiri) bersama Abdul Jalil (tiga dari kiri) dan Angeline Tan (kanan) bergambar ketika pelancaran portal Hijab & Heels sempena Festival Anggun Life di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA) di Johor Bahru, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.