Nazdy Harun

Kuala Berang: Selepas berkampung selama tiga bulan mencuri khazanah di hutan negara ini, dua lelaki warga negara jiran akhirnya ditahan oleh kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam serbuan ke atas dua khemah di Taman Negara pada 27 Mei lalu.

Pengarah PERHILITAN negeri Rahmah Ilias berkata, kedua-dua warga asing yang ditahan berusia 40-an.

Katanya, serbuan hasil maklumat awam itu dilakukan kira-kira jam 11 pagi di kawasan hutan yang bersempadan dengan Taman Negara Terengganu.

“Pemeriksaan oleh anggota PERHILITAN menemui beberapa bahagian hidupan liar yang dipercayai daripada spesies beruang matahari dan babi hutan, beberapa jerat dawai serta peralatan yang digunakan untuk memburu dan mengambil hasil hutan.

RAHMAH  (dua dari kiri)  menunjukkan taring beruang matahari dan dagingnya serta peralatan untuk menjerat haiwan yang dirampas.
RAHMAH (dua dari kiri) menunjukkan taring beruang matahari dan dagingnya serta peralatan untuk menjerat haiwan yang dirampas.

“Kedua-dua suspek terbabit memasuki negara ini secara sah namun mereka menceroboh kawasan Taman Negara selain memiliki bahagian tertentu hidupan liar tanpa lesen dan permit khas daripada PERHILITAN,” katanya pada sidang media di Pejabat PERHILITAN Daerah Hulu Terengganu, di sini, semalam.

Rahmah berkata, kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 iaitu Seksyen 29(1)(a) kerana memiliki atau menyimpan jerat, Seksyen 60(1)(b) kerana mengambil dan menyimpan bahagian hidupan liar dilindungi tanpa lesen yang sah dan Seksyen 68(1)(b) kerana mengambil atau menyimpan bahagian hidupan liar dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 5:09 AM