ADUN Beseri, Rozaini Rais keluar dari perkarangan Istana Arau dipercayai baru mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berikutan kemelut perlantikan Menteri Besar Perlis. -Foto AZHAR RAMLI
ADUN Beseri, Rozaini Rais keluar dari perkarangan Istana Arau dipercayai baru mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berikutan kemelut perlantikan Menteri Besar Perlis. -Foto AZHAR RAMLI
Muhammad Mustakim Ramli


KRISIS pelantikan Menteri Besar Perlis dijangka selesai dalam tempoh terdekat selepas 10 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dipanggil mengadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, Arau, petang tadi.

Kesemua mereka yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu itu tiba pada 2.15 petang.

Mereka dilihat berada di dalam Geleri Diraja Arau sebelum masuk mengadap Raja Perlis pada 3.30 petang.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Azlan Man yang juga Menteri Besar Perlis pada penggal lalu dan calon Menteri Besar Datuk Ismail Kassim antara 10 wakil rakyat yang mengadap Raja Perlis.

Difahamkan, pertemuan selama 30 minit bagi setiap wakil rakyat itu bertujuan memudahkan Raja Perlis mengenali secara lebih dekat.

Selain Azlan dan Ismail, lapan lagi wakil rakyat itu adalah Tee Chai Aan, Rozaini Rais, Siti Berenee Yahya, Azizan Sulaiman, Asmaiza Ahmad, Roziena Ahmad, Nurulhisham Yaakob dan Hamizan Hassan.

Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis bermula selepas Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan ADUN Tambun Tulang yang juga adiknya sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Timbalannya, Azlan yang juga ADUN Bintong pula mendakwa tidak tahu dan tidak dimaklumkan mengenai cadangan berkenaan.

Susulan pelbagai khabar angin, Raja Perlis pada Ahad lalu bertitah baginda memerlukan masa memberi perkenan kepada calon Menteri Besar dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diserahkan BN kepada Istana Arau.

Dalam titahnya, baginda meminta rakyat Perlis bertenang kerana memerlukan masa untuk mengenali calon yang diserahkan BN negeri dan memberi jaminan tidak akan mengabaikan Perlembagaan dan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 7:45 PM