AZRUL Suhadi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh terhadap Khairuddin. FOTO Muhaizan Yahya
AZRUL Suhadi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh terhadap Khairuddin. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


SATU laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Ipoh, hari ini terhadap calon kerusi Parlimen Jasin, Melaka, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (PKR) atas tuduhan penipuan membabitkan pinjaman berjumlah RM100,000.

Laporan dibuat mangsa yang juga bekas Ketua Pendaftar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar.

Beliau mendakwa diperdaya selepas pinjaman RM100,000 diberikan kepada Khairuddin hampir setahun lalu tidak dibayar, malah diberikan beberapa cek yang tidak boleh ditunaikan termasuk cek tendang.

“Pada 21 Jun 2017, Khairuddin meminta pinjaman RM90,000 daripada saya dan menunjukkan cek tarikh hadapan bernilai RM100,000 sebagai bayaran pinjaman itu.

“Beliau mendakwa memerlukan wang itu bagi menyelesaikan bayaran mahkamah sebanyak RM250,000 atas kesalahan menghina mahkamah dan kononnya dibenarkan membayar separuh denda terbabit yang jika gagal bayar, dia akan masuk penjara selepas Aidilfitri tahun lalu,” katanya selepas membuat laporan polis, hari ini.

Azrul Suhadi berkata, atas dasar persahabatan dan hubungan akrab serta kenalan politik, dia berusaha mengumpul wang yang diperlukan itu dengan berkongsi bersama bekas Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman yang juga kakak iparnya sebelum menyerahkan wang tunai itu pada 22 Jun tahun lalu dan menerima cek bertarikh 30 Jun 2017.

“Cek atas nama syarikat NHA Strategic Holding Berhad itu kemudian saya cuba depositkan, namun dimaklumkan pihak bank bahawa akaun cek itu sudah ditutup.

“Saya maklumkan perkara itu kepada Khairuddin sebelum beliau memberikan satu lagi cek, namun cek berkenaan juga bermasalah dan perkara sama berlaku terhadap dua lagi cek yang diberikan selepas itu termasuk satu cek tendang,” katanya.

Azrul Suhadi berkata, dia kemudian membuat semakan latar belakang syarikat yang ceknya digunakan Khairuddin untuk membayar hutang itu dan mendapati NHA Strategic adalah satu daripada 30 syarikat yang diburu polis atas dakwaan menipu pelabur serta orang ramai yang beritanya dilaporkan akhbar bertarikh 19 Disember 2017.

“Hampir setahun saya merayu beliau memulangkan wang saya, namun gagal dengan diberi pelbagai alasan dan lebih mengejutkan apabila hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu, saya mendapati Khairuddin bertanding di kerusi Parlimen Jasin.

“Saya terpaksa membuat laporan polis kerana berasa diri diperdaya membabitkan pemberian cek bermasalah yang saya syaki mempunyai unsur jenayah komersial, selain berasa tertipu kerana Khairuddin mampu menjadi calon PRU-14 tetapi tidak mampu membayar hutang,” katanya.

Katanya, dia berharap polis menjalankan siasatan terhadap Khairuddin dan mengambil tindakan sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 6:32 PM