PENGUNJUNG yang hadir  di gerai pameran #YouCanDuit sempena Gegaria Fest di Amanjaya, Sungai Petani. FOTO Sharul Hafiz Zam
PENGUNJUNG yang hadir di gerai pameran #YouCanDuit sempena Gegaria Fest di Amanjaya, Sungai Petani. FOTO Sharul Hafiz Zam
Suzalina Halid dan Embun Majid


PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berjaya menarik golongan belia melalui kempen #YOUCANDUIT di bawah program eRezeki dan eUsahawan menerusi Festival GegaRia 2018 #KitaOK anjuran Media Prima Berhad.

Eksekutif Kanan Bahagian Jenama dan Komunikasi MDEC, Mohamad Syafiq Azhar, berkata jumlah itu diperoleh di empat lokasi Festival GegaRia 2018 #KitaOK iaitu di Ipoh, Perak; Kuala Lumpur, Seremban, Negeri Sembilan dan acara kemuncak di Sungai Petani, Kedah.

“Sasaran kita tercapai melalui penyertaan di Festival GegaRia 2018 di empat daripada tujuh lokasi yang diadakan sebelum ia berakhir di Sungai Petani.

“Malah, sambutan yang kami terima di sini adalah di luar jangkaan meskipun kita adakan di hari bekerja... astaka kami meriah dari sepanjang hari sebab mereka nak tahu macam mana nak jana pendapatan secara digital.

“Penyertaan ini membabitkan generasi muda malah kita sebenarnya agak teruja kerana selama ini kami fikir mereka hanya berkunjung ke festival ini untuk berhibur sebaliknya mereka turut mempunyai suntikan positif bagi meningkatkan taraf hidup.

“Melalui kempen #YOUCANDUIT ada golongan belia yang boleh membantu keluarga ataupun mendapatkan duit poket di bawah dua program kami, ” katanya ketika ditemui di Festival GegaRia 2018 di Amanjaya Mall di Sungai Petani, hari ini.

Mohamad Syafiq berkata, kempen #YOUCANDUIT diperkenalkan sejak 2016 lagi untuk membantu rakyat menambah pendapatan secara digital melalui eRezeki dan eUsahawan.

Katanya, melalui #YOUCANDUIT di Festival GegaRia 2018 #KitaOk, pengunjung berpeluang menemui dua mentor selebriti MDEC iaitu Erma Fatima yang juga dikenali Mok Cun dan Fizo Omar.

“Di Festival GegaRia 2018 #KitaOK, fokus adalah penyertaan dari generasi muda sebab belia lebih dekat dengan dunia digital dan gajet... jadi mereka boleh melakukan perkara bermanfaat melalui dua program kita daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti menyebarkan berita palsu di alam siber, ” katanya.

Justeru beliau berkata, MDEC melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia amat berbesar hati dapat turut serta bersama Media Prima Berhad untuk mendekati golongan muda bagi memanfaatkan teknologi digital masa kini.

Katanya, pihaknya akan meneruskan lagi kempen #YOUCANDUIT dengan menyertai program Media Prima Berhad seperti Festival GegaRia sepanjang tahun ini untuk membantu semua lapisan masyarakat dalam ekonomi digital.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 9:32 PM