Oleh Nor Azizah Mokhtar dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


KECEKAPAN kira-kira 200 anggota polis berjaya menghalang peserta perhimpunan Keluar Mengundi, Tangkap Pencuri di Dataran Sogo, tadi daripada berarak ke Dataran Merdeka, sekali gus mengelakkan kekecohan.

‘Drama’ kira-kira sejam itu berjaya dileraikan hasil beberapa kali rundingan pihak polis bersama wakil penganjur perhimpunan supaya tidak meneruskan niat mereka untuk berarak dan terus berhimpun di lokasi berkenaan.

Namun, terdapat tiga peserta yang ditahan dan diasingkan sementara dari kumpulan berkenaan kerana cuba mencetuskan kekecohan, tetapi dibebaskan selepas perhimpunan tamat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah, berkata seramai 200 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Light Strike Force (LSF) ditugaskan mengawal selia sepanjang perhimpunan berlangsung.

“Kita berjaya mengawal keadaan dan memastikan perhimpunan ini berlangsung dengan aman dan terkawal, walaupun ada cubaan untuk berarak, kita dapat halang sebelum kira-kira 500 peserta perhimpunan bersurai 3.30 petang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ditanya mengenai tindakannya mengambil kunci lori yang membawa beberapa peserta perhimpunan bersama pembesar suara dan sepanduk, Shahruddin berkata beliau bertindak demikian kerana mereka degil dan mahu terus berarak.

“Saya ambil sekejap kunci lori terbabit dan pulangkan semula, mereka akur dengan arahan untuk tidak berarak,” jelas beliau.

Sementara itu, kira-kira 500 peserta mula berkumpul di perkarangan pusat beli belah SOGO kira-kira 2 petang dengan melaungkan kata-kata seperti ‘Reformasi’, ‘Tangkap Jho Low’ dan ‘Hidup Rakyat’.

Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu, antara pemimpin pembangkang yang hadir dan memberi ucapan pada perhimpunan dianjurkan oleh kegiatan yang menamakan diri mereka gerakan ‘Anak Muda Cari Jho Low (AMCJL)’ itu.

Perhimpunan bertujuan mengajak anak muda keluar mengundi pada 9 Mei depan selain menggesa pihak berkuasa menangkap ahli perniagaan Jho Taek Low atau Jho Low berkaitan skandal 1MDB.

Sementara itu, Shaharuddin berkata pihaknya sudah mengenal pasti penganjur perhimpunan di Jalan Tunku Abdul Rahman hari ini dan akan memanggil mereka yang terbabit dalam masa terdekat.

"Polis akan jalankan siasatan mengikut Sekyen 9 Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 kerana penganjur sudah melanggar peraturan yang ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas perhimpunan berkenaan.

Tambah beliau, penganjur berkenaan sudah mengadakan pertemuan dengan pihak polis 10 hari sebelum perhimpunan diadakan, namun tidak dibenarkan berhimpun kerana gagal mematuhi syarat ditetapkan.

"Penganjur tidak mendapat kebenaran daripada pengurusan pusat beli-belah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sekiranya siasatan mendapati ada pelanggaran undang-undang pada hari ini, kita serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 5:52 PM
PERHIMPUNAN haram supaya Jho Low di tangkap berlangsung di hadapan Kompleks Membelibelah Sogo. FOTO Khairul Azhar Ahmad
PERHIMPUNAN haram supaya Jho Low di tangkap berlangsung di hadapan Kompleks Membelibelah Sogo. FOTO Khairul Azhar Ahmad