GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PESARA tentera ditemui mati dipercayai tertembak diri sendiri ketika keluar memburu di hutan berhampiran Kampung Mang, Samarahan, semalam.

Bong Francis, 46, ditemui anak dan rakannya di tepi sungai kira-kira 8 pagi.

Mangsa dikatakan ke sungai berkenaan untuk membuang air besar sementara anak dan rakannya menunggu tidak jauh dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, rakan mangsa terdengar bunyi tembakan dari arah sungai selain mendengar jeritan mangsa sebelum bergegas ke bagi meninjau apa yang berlaku.

Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di tepi sungai berkenaan.

“Anak lelaki dan rakan mangsa kemudian bergegas membawa mangsa pulang ke rumahnya di Asajaya sebelum disahkan meninggal dunia.

“Mayat dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa terkena tembakan pada rusuk kiri, paha kanan, punggung kiri serta lebam pada rusuk kanan.

Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan keluar memburu di hutan berhampiran menaiki dua kereta bersama anak dan rakannya.

“Polis merampas tiga senapang dan peralatan yang dibawa ketika memburu milik mangsa bersama rakannya untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati ketika ditemui senapang berkenaan berada di kanan badan mangsa dan dipercayai tertembak dirinya,” katanya.

Katanya, setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat.

Lee berkata, sebarang perkembangan lanjut mengenai siasatan akan dibuat selepas pihaknya menerima laporan lengkap bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 2:08 PM