SHABERY (kiri) meletakkan buah nanas ke-21,000 di Bandar Baru Pontian.
SHABERY (kiri) meletakkan buah nanas ke-21,000 di Bandar Baru Pontian.
Mary Victoria Dass


Pontian: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran tanaman nanas sebanyak 20 peratus pada 2018 kepada 437,930 tan metrik dengan nilai RM636 juta.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kementerian juga menyasarkan pertumbuhan pasaran nanas semasa sebanyak 45 peratus tahun depan dengan nilai eksport berjumlah RM200 juta.

Beliau berkata, kementerian juga memfokuskan usaha untuk mengimbangi penawaran dan permintaan khususnya di pasaran China bagi menampung permintaan sebanyak 20 kontena seminggu ke negara berkenaan.

Menurutnya, pada masa ini, hanya lapan kontena dapat dibekalkan ke China dan bagi memperkasakan sasaran berkenaan, LPNM menyediakan lima inisiatif baru selain tiga inisiatif sedia ada.

“Antara inisiatif itu ialah menyediakan modal awal dan geran, memperluaskan kawasan penanaman serta menjalankan kajian dan penyelidikan bagi menghasilkan benih yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Fiesta Nanas 60 sempena sambutan ulang tahun ke-60 LPNM di Pusat Perdagangan Bandar Baru Pontian di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi Johor Ismail Mohamad dan Pengerusi LPNM Datuk Samsolbari Jamali.

Ahmad Shabery berkata, sektor nanas diperuntukkan RM30 juta menerusi Bajet 2018, sekali gus menjadi inisiatif sumber kekayaan baru agromakanan negara.

“Ia sebagai usaha meningkatkan pengeluaran menerusi peningkatan produktiviti memandangkan kawasan baru untuk penanaman nanas terhad.

“Kerajaan memberi fokus kepada nanas jenis MD2 dan menggalakkan pekebun dan pengusaha dalam industri berkenaan untuk menanam nanas MD2 secara komersial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 3:28 AM