RANTAU PANJANG 27 NOVEMBER 2017. Keadaan Pekan masih lagi terkawal  walaupun paras air di Sungai Golok mencapai paras bahaya berikutan hujan yang turun sejak Jumaat lalu. NSTP/FATHIL ASRI. NSTP/FATHIL ASRI.FATHIL ASRI
RANTAU PANJANG 27 NOVEMBER 2017. Keadaan Pekan masih lagi terkawal walaupun paras air di Sungai Golok mencapai paras bahaya berikutan hujan yang turun sejak Jumaat lalu. NSTP/FATHIL ASRI. NSTP/FATHIL ASRI.FATHIL ASRI
Maiamalina Mohamed Amin


Kota Bharu: Dijangka tidak seteruk bencana pada 2014, namun tetap serius. Ramalan awal yang boleh dibuat bagi menggambarkan banjir di Kelantan apabila menghadapi hujan lebat berterusan melebihi tiga hari.

Semalam menyaksikan hari ketiga negeri itu menerima taburan hujan tinggi dan cuaca buruk terbabit dijangka berterusan sehingga Rabu, mengikut ramalan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia).

Ketika ini, mangsa banjir yang dipindahkan berjumlah 744 orang (setakat jam 5 petang) membabitkan 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Bharu (tiga), Tanah Merah (empat), Pasir Puteh (tiga), Pasir Mas (dua), Machang (satu) dan Kuala Krai (satu).

Tumpuan juga terarah kepada Rantau Panjang berikutan bandar itu terletak di tebing Sungai Golok yang sudah melepasi paras bahaya iaitu 9.52 meter dan boleh mencecah 10 meter dalam tempoh beberapa jam sebelum melimpah.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Kamal Mustapha berkata, ketika ini, Sungai Golok dalam situasi bahaya dan keadaan akan lebih buruk sekiranya cuaca tidak berubah, minggu ini.

“Data merekodkan sungai ini menunjukkan trend menaik dan boleh cecah 10 meter malam ini (semalam) yang membawa kepada banjir di kawasan berdekatan sungai.

“Sekiranya hujan masih berlaku, kita jangkakan keadaan akan jadi lebih serius di bandar itu dan saya harap penduduk dan orang kampung membuat persediaan masing-masing kerana mereka lebih mengetahui situasi rumah apabila bencana.

“Amaran awal sudah kita keluarkan menerusi aplikasi KelGov JPS secara percuma yang disertakan semua data terkini situasi paras sungai bersama taburan hujan.

“Penduduk perlu rujuk data ini untuk buat persediaan, bukannya mendengar info tular tidak sah,” katanya ditemui pada Karnival JPS Negeri Kelantan 2017 di pekarangan Kompleks JPS Negeri di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

Kamal berkata, paras sungai utama lain di negeri itu juga menunjukkan peningkatan namun, masih dalam keadaan berjaga-jaga termasuk Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Tanah Merah.

“Yang kita bimbang kerana kemungkinan besar keadaan hujan berterusan begini dalam tempoh lama menyukarkan air surut. Ini baru hujan disebabkan bawaan angin dari pantai belum lagi hujan di kawasan hulu (Lojing, Gua Musang dan pedalaman Kuala Krai),” katanya.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 7:27 AM