Woong Seng menunjukkan kad pengenalan sementara dan sijil kelahirannya. FOTO Hazreen Mohamad
Woong Seng menunjukkan kad pengenalan sementara dan sijil kelahirannya. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Khidir Zakaria


“WARNA kulit berbeza dengan nama menyebabkan MyKad saya dirampas pihak berkuasa dan kini saya memegang kad pengenalan sementara,” kata Tang Woon Seng, 34, yang buntu untuk menyelesaikan masalahnya mendapatkan semula MyKad.

Dia sebenarnya berketurunan India diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Cina selepas diserahkan ibu bapanya dipercayai kerana mempunyai masalah peribadi.

Bapa angkat, Tang Kee Kwan mendaftarkan kelahirannya sebagai anak kandung dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang tanpa ada perbezaan dengan enam adik-beradik angkatnya di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Port Dickson.

"Saya membesar sebagai orang Cina, malah tidak tahu berbahasa Tamil. Ramai yang hairan apabila mengetahui saya mempunyai nama Cina sedangkan warna kulit saya gelap.

"Saya tidak berasa tersisih atau malu kerana penduduk kampung mengenali dan mengetahui sejarah saya. Mereka tahu bapa mengambil saya daripada keluarga asal dan membesarkan saya sejak 34 tahun lalu," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Woon Seng berkata, masalah bermula ketika membuat proses permohonan perkahwinan dengan seorang wanita Indonesia pada 16 tahun lalu, apabila MyKadnya dirampas pihak berkuasa.

Katanya, mereka menyangka dia menggunakan maklumat palsu, namun siasatan mendapati berlaku kesilapan mengenai pendaftaran sijil kelahirannya oleh bapa angkat.

"Bapa angkat mendaftarkan saya sebagai anak kandung dan tidak mengetahui tindakan itu salah. Malah, saya tidak berdepan masalah membuat MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika berusia 12 tahun.

"Hanya ketika mahu berkahwin masalah itu timbul. Sejak itu, saya diberi kad pengenalan sementara yang menyatakan saya bukan warga negara. Anak lelaki saya juga didaftarkan sebagai bukan warga negara," katanya yang pernah berusaha mencari keluarga kandungnya tetapi gagal.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPN Datuk Mohd Yazid Ramli berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 3:16 PM