LORI  tangki LPG yang  bocor pada injap tangkinya di hadapan SMK Dato Ibrahim Yaakob, Jalan Ipoh, semalam.
LORI tangki LPG yang bocor pada injap tangkinya di hadapan SMK Dato Ibrahim Yaakob, Jalan Ipoh, semalam.
Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: Kawasan sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ibrahim Yaakob, Jalan Ipoh, di sini, terpaksa dikosongkan susulan kejadian sebuah lori tangki membawa gas petroleum cecair (LPG) mengalami kebocoran pada injap tangkinya di hadapan sekolah itu.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi semalam, pihak bomba bimbang kejadian itu boleh mengancam keselamatan pelajar, guru dan kakitangan sekolah sekiranya letupan berlaku.

Kebocoran yang berlaku turut mengakibatkan bau gas yang sangat kuat sebelum semua pelajar dan guru bergegas berkumpul di kawasan tapak perhimpunan bagi mengelak sebarang kemungkinan buruk.

Difahamkan, sekolah berkenaan terpaksa ditutup dan semua pelajar diarahkan pulang atas faktor keselamatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gombak Selatan Hasbullah Naimi Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.49 pagi dan sepasukan anggota dari BBP Gombak Selatan dan BBP KLCC dikerahkan ke lokasi.

“Seramai 12 anggota bersama dua jentera termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mengesan bau gas yang kuat dipercayai berpunca daripada lori tangki berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pihak bomba terpaksa mengarahkan pihak sekolah untuk mengumpulkan pelajar, guru dan kakitangan sekolah di tapak perhimpunan.

“Atas faktor keselamatan pihak sekolah membatalkan sesi pembelajaran dan mengarahkan guru untuk memaklumkan kepada ibu bapa pelajar untuk mengambil anak masing-masing,” katanya.

Hasbullah Naimi berkata, anggota bomba kemudian melakukan pemeriksaan dan mengawal situasi sementara pihak polis menutup lalu lintas daripada orang awam melalui kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 7:26 AM