Izlaily Nurul Ain Hussein


SEORANG buruh binaan dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas kesalahan memasuki tandas wanita dan mengaibkan kehormatan seorang jurutera wanita, Sabtu lalu.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias menjatuhkan hukuman itu berkuat kuasa hari ini terhadap tertuduh, Arizal Jasni, 29, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan jenayah dengan mengaibkan kehormatan wanita dengan mengganggu kesantunan mangsa yang berusia 22 tahun itu dengan memasuki tandas awam itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebuah premis perniagaan di Jalan Persiaran, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang pada 8.15 malam, 2 September lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika diminta membuat rayuan sebelum menjatuhkan hukuman, tertuduh hanya menggelengkan kepala dan berkata tiada sebarang rayuan hendak dibuat walaupun mahkamah memberi empat kali peluang untuk tertuduh berbuat demikian.

Mengikut fakta kes yang diakui tertuduh, dia masuk ke tandas wanita itu ketika mangsa berada di dalamnya.

Lelaki itu kemudian datang meluru ke arah mangsa yang mahu keluar dari pintu tandas berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 2:26 PM