Kalidevi Mogan Kumarappa


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menahan dua individu disyaki terbabit dalam penilaian harta dan harga bagi pembelian sebuah hotel di London oleh Felda Investment Cooperation (FIC) pada jam 1 petang hari ini.

Kedua-duanya ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir untuk memberi keterangan berkaitan siasatan pembelian hotel empat bintang di Kensington antara tahun 2013 dan 2015.

Sumber berkata, mereka yang ditahan adalah pengarah sebuah syarikat perundingan pengurusan aset berusia 45 tahun manakala seorang lagi adalah Ketua Unit Harta sebuah syarikat perkhidmatan pos yang berusia 36 tahun.

Katanya, ketika pembelian hotel itu dilakukan, masing-masing bertugas sebagai Ketua Penasihat Korporat dan Pengarah syarikat Raine and Horne untuk menguruskan pembelian hotel berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan percaya kedua-dua suspek dapat memberikan maklumat berhubung pembelian hotel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 4:55 PM