FAIZAL (kiri) dan Izzuddin  mengambil kesempatan memancing pelbagai jenis ikan air tawar yang terperangkap.
FAIZAL (kiri) dan Izzuddin mengambil kesempatan memancing pelbagai jenis ikan air tawar yang terperangkap.
Ahmad Ismail

Segamat: Kehadiran lopak air akibat banjir di sekitar daerah ini baru-baru ini, memberi limpahan rezeki kepada kaki pancing berikutan lokasi berkenaan menjadi lubuk pelbagai spesies ikan air tawar yang tersesat.

Penduduk Kampung Berata, Faizal Zam Zam, 20, berkata, dia bersama rakannya, Izzuddin Zainal, 19, yang juga kakitangan swasta tidak menyangka lopak air turut menjadi rezeki pemancing sepertinya yang diperoleh sejak beberapa hari lalu.

“Kami menemui ikan air tawar dalam lopak air di belakang rumah jiran secara tidak sengaja. Pemeriksaan menemui lebih banyak spesies sama di banyak lopak air lain.

“Antara ikan berkenaan ialah keli, haruan dan lampam. Ia terperangkap dalam lopak air berselut sedalam semeter hingga 1.5 meter,” katanya ketika ditemui di lopak air terletak di Kilometer 2, Jalan Segamat-Jementah di sini, semalam.

Menurutnya, setiap ikan dapat dipancing dalam tempoh kurang lima minit menggunakan umpan cacing.

“Biasanya, selepas memperoleh ikan, kami berswafoto bersama hasil tangkapan untuk dikongsi di laman sosial untuk kenangan sebelum melepaskannya semula di lokasi seperti di Sungai Segamat.

“Ada yang menawarkan RM35 untuk sekilogram haruan untuk merawat luka namun kami memberikannya secara percuma kerana niat mahu membantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 10:05 AM