HUSAIN (kanan) dan Ahmad @ Salim ketika memilih pemenang peraduan Mudah Menang di Balai Berita Bangsar.
HUSAIN (kanan) dan Ahmad @ Salim ketika memilih pemenang peraduan Mudah Menang di Balai Berita Bangsar.
Asrizal Aris


Kuala Lumpur: Naluri seorang ibu yang merasakan ‘idea gila’ anak lelakinya akan terpilih pemenang menjadi kenyataan selepas kreativiti pemuda itu mencipta sebuah arca dipilih sebagai pemenang hadiah paling kreatif Siri 3 Minggu 6 peraduan Mudah Menang Harian Metro (HM), semalam.

Sharifah Nora Sayed Nordin, 46, berkata, dia sudah menjangkakan arca ringkas dihiasi dengan diod pemancar cahaya (LED) dibuat anaknya, Meor Amir Ikhwan Ahmad Nizam, 19, berpotensi besar untuk menang.

Katanya, anaknya pelajar semester empat Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), seorang yang gemar meneroka dan melayari Internet sehingga berjaya menjejaki halaman hadapan akhbar HM tahun 90-an untuk dihias bersama arca.

“Pada mulanya, saya ikutkan sahaja kehendaknya untuk menyertai peraduan dan sanggup menghabiskan ratusan ringgit untuk dia mencipta kreativitinya itu. Tapi selepas dia berjaya menyiapkan idea gilanya itu, saya boleh agak dia menang.

“Dia pelajar jurusan kejuruteraan dan mempunyai kemahiran dalam pendawaian elektrik. Jadi tidak hairanlah dia boleh membuat arca itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Selain Meor Amir Ikhwan yang memenangi hadiah wang tunai RM1,000, empat peserta lain memenangi wang tunai RM500 selepas berjaya menjawab soalan dengan tepat.

Pemenang ialah Nurain Natasya Mohamad Amin, Nor Azalita Mohd Khalid, Mohamad Nadzri Mahmud dan Syed Abd Hamid Syed Abd Rahman.

Sementara itu, dua peserta lagi dipilih untuk memenangi tiket Legoland bernilai RM900 yang dimiliki oleh Mohd Firdaos Ahmad dan Ahmad Fauzi Mohd Zain.

Pengumuman dan pemilihan semua pemenang ditentukan oleh Timbalan Pengarang Kumpulan HM Ahmad @ Salim Bachok dan Pengarang Bersekutu (Rencana) HM Husain Jahit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 10:36 AM