Azizan (dua kanan) bersama Mohamad Nazer (kiri) beramah mesra dengan tetamu.
Azizan (dua kanan) bersama Mohamad Nazer (kiri) beramah mesra dengan tetamu.
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak menyokong cadangan RISDA untuk mengkomersialkan tanaman ketum di negara ini kerana bimbang disalahgunakan dengan pelbagai campuran termasuk dadah untuk mendapatkan nikmat lebih mengkhayalkan.

Pemangku Ketua Pengarah AADK Datuk Azizan Ariffin berkata, ia dibimbangi memberi kesan memudaratkan kepada generasi akan datang terutama golongan muda di negara ini.

Menurutnya, bilangan penagih ketum kini semakin membimbangkan dan meningkat terutama di Kedah dan Perlis berikutan banyak ladang ketum ditanam di belakang rumah.

“Penagih ketum biasanya lebih kreatif dengan mereka cipta air rebusan ketum dan mencampurkan bersama ubat nyamuk serta ubat batuk untuk kesan khayal yang lebih ‘power’ dan ‘kick’.

“Kami mengesan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun di negeri Pantai Timur membawa air ketum ke sekolah kerana tidak tahu kesan pengambilan air ketum.

“Kami berharap langkah (mengkomersialkan tanaman ketum) itu dikaji semula untuk mengelakkan lebih ramai penagih ketum di negara ini,” katanya sempena program Sucikan Hati Suburkan Iman di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah AADK Kedah, Mohamad Nazer Mustafa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar.

Azizan berkata, cadangan RISDA itu akan memberi masalah kepada negara kerana air ketum akan dicampurkan dengan pelbagai jenis dadah seperti morfin.

“Sekiranya cadangan RISDA itu diluluskan, kos merawat serta program dijalankan untuk penagih dadah atau ketum akan lebih besar dan adalah lebih baik dihalang di peringkat awal.

“Malah, AADK akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menambah hukuman mengikut Akta Racun 1952 supaya hukuman lebih berat dikenakan berbanding sekarang untuk mereka yang memproses ketum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 5:15 AM