FOTO hiasan Arkib NSTP
FOTO hiasan Arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Kabinet supaya penanaman pokok ketum di negara ini diharamkan sekali gus mengelak penyalahgunaan tanaman itu daripada terus berleluasa.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mendapati, penyalahgunaan ketum jelas membawa kesan bahaya kepada pengguna walaupun ia tidak dikategorikan sebagai dadah berbahaya.

Beliau berkata, kementerian tidak akan membiarkan penyalahgunaan ketum itu berleluasa memandangkan banyak tangkapan berkaitan penyeludupan ketum dilaporkan setakat ini.

“Mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, bahan mitragynine yang terkandung dalam pokok ketum adalah tersenarai dalam Jadual 3, Bahan Pskioterapik Akta Racun 1952. Malah, bahan berkenaan dikawal di bawah Seksyen 30 Akta Racun 1952 iaitu pengawal import, eksport, pembuatan, penjualan dan lain-lain.

“Kita sudah bincang panjang lebar perkara ini dan kita hendak mencadangkan kepada Jawatankuasa Kabinet yang akan bersidang tidak lama lagi supaya penanaman pokok ketum itu diharamkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-undang (JPU) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sedar rakyat di negeri-negeri di utara tanah air terkilan mengenai cadangan itu, namun ia langkah penting bagi mengelak situasi lebih canggih selain mengelak ketum diproses dalam bentuk yang membawa kesan bahaya.

Katanya, kementerian berharap tindakan pengharaman penanaman pokok ketum dapat diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet.

“Kami mendapati tanaman ketum tidak terkawal, malah ada kes pokok ketum kita dieksport ke Thailand sedangkan negara berkenaan sudah pun mengharamkan tanaman itu.

“Sekiranya cadangan ini diterima kelak, beberapa langkah akan dimasukkan bagi menentukan hukuman dan kawalan kepada mereka yang terbabit selain memasukkannya dalam Akta Racun atau Akta Dadah Berbahaya.

“Bagi tujuan perubatan pula, ia terserah kepada Kementerian Kesihatan. Kalau mereka kaji ada keperluan tertentu dari sudut perubatan, maka ia akan dibuat dalam bentuk yang terkawal,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pihaknya juga akan mencadangkan pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Bahan Khayal atau Inhalant 2018 ke Parlimen sebagai usaha mengawal isu hidu gam khususnya dalam kalangan remaja.

“RUU ini dicadangkan oleh AADK kerana berdasarkan jumlah laporan yang besar diterima berkaitan penghidu gam dalam kalangan remaja dan ia semakin membimbangkan.

“Hidu gam tidak dikategorikan dalam bahan dadah, malah ia terkeluar daripada rang undang-undang sedia ada. Justeru, kami mencadangkan kepada Jawatankuasa Kabinet supaya ia dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan dan diluluskan.

“Kami berharap penghidu gam ini dapat dikawal dari sudut undang-undang dan mereka juga akan diberi bantuan pemulihan, nasihat dan pendidikan,” katanya.

Berhubung isu penggunaan ganja dalam perubatan, Muhyiddin berkata, kementerian bertegas ia tidak akan dilaksanakan di Malaysia, malah ia juga keputusan yang sudah dipersetujui bersama menerusi mesyuarat peringkat ASEAN di Hanoi, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 5:06 PM