Ahmad Zahid   dan   Pengarang Urusan Kumpulan Rangkaian dan Radio Televisyen Media Prima Berhad Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah (dua dari kiri)  ketika melawat bilik operasi media Akhbar Kumpulan NSTP untuk pilihan raya DUN Sarawak ke 11.
Ahmad Zahid dan Pengarang Urusan Kumpulan Rangkaian dan Radio Televisyen Media Prima Berhad Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah (dua dari kiri) ketika melawat bilik operasi media Akhbar Kumpulan NSTP untuk pilihan raya DUN Sarawak ke 11.
myMetro

Kuching: Jentera Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras dalam tempoh kempen yang berbaki lima hari lagi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikategorikan sebagai kelabu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini, hanya 25 peratus kawasan kelabu menjadi tumpuan.

“Pada minggu lalu, kawasan kelabu ini 30 peratus dan kini tinggal 25 peratus. Jentera BN termasuk saya dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan turun padang menyelesaikan masalah antara parti.

“Proses pemujukan berjalan dan mesti ada keputusan yang harus dimuktamadkan kerana kita mahu kemenangan,” katanya ketika melawat bilik operasi The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP)-Media Prima Berhad (MPB) di Hotel Merdeka Palace, di sini, semalam.

Sebelum itu, di Serian, beliau meminta anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem bagi menjamin kesinambungan pembangunan di negeri ini.

Menurutnya, sokongan setiap ahli RELA memberi makna dan boleh menentukan kemenangan BN di Sarawak.

Ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat, semalam, Ahmad Zahid sempat berseloroh dengan empat calon BN iaitu Datuk Seri Michael Manyin Jawong (DUN Tebedu), John Ilus (Bukit Semuja), Datuk Roland Sagah (Tarat) dan Martin Ben (Kedup) supaya kerap turun padang bertemu anggota RELA.

“Jangan hanya masa pilihan raya saja jumpa RELA. Bila menang jumpa mereka. Saya akan pantau, kalau tak turun (jumpa), saya tahu nak buat apa,” katanya.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Ketua Pengarah RELA Datuk Kamariah Mohd Noah.

Pada majlis itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut menyampaikan watikah pelantikan Ahli Lembaga Pelawat Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo serta menyerahkan Pakaian Operasi Digital RELA kepada anggota di daerah Serian.

Beliau juga mengajak masyarakat di daerah itu terus memberi kepercayaan kepada Adenan dan BN kerana beliau membawa agenda pembangunan yang baik untuk semua.

“Kita mahu Tok Nan (Adenan) terus pimpin kita di Sarawak ini, kita mahu dia teruskan pembangunan terutama di kawasan luar bandar.

“Kita juga mahu Tok Nan rapat dengan Perdana Menteri untuk dapat lebih banyak peruntukan bagi Sarawak. Sebab itu, lupakan soal kecil hati dan terus bagi sokongan kepada BN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 8:11 AM