Perkhidmatan feri dari jeti Stulang Laut, Johor Bahru ke Harbour Bay di Batam menyelesakan.
Perkhidmatan feri dari jeti Stulang Laut, Johor Bahru ke Harbour Bay di Batam menyelesakan.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Tambang ke Batam Indonesia hanya RM9.90 sehala menjadi pertaruhan syarikat feri tempatan, Mutiara Mas Ferry bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati percutian idaman tanpa perlu risau kos yang tinggi.

Pengarah Urusan Sungai Rezeki Sdn Bhd (Sungai Rezeki), Jamaludin Kamal Ho berkata, serentak dengan itu juga pihaknya melancarkan dua pakej percutian mampu milik berharga RM299 dan RM399 seorang merangkumi tiket feri, hotel penginapan, kenderaan persiaran, makan malam dan makan tengah hari.

Katanya, pakej mampu milik berkenaan menawarkan penginapan selama dua hari satu malam dan tiga hari dua malam, bilik VIP untuk karaoke bersama keluarga selain pelepasan cukai pelabuhan di Berjaya Waterfront Stulang Laut di sini dan Harbour Bay Batu Ampar Batam.

“Kami mengadakan kerjasama dengan agensi pelancongan Melaka Holidays Sdn Bhd bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan untuk berkunjung ke Batam Indonesia dan pelancong Indonesia ke Johor Bahru dan Melaka Bandaraya Bersejarah.

“Pakej pelancongan mampu milik ini jauh lebih murah berbanding yang ditawarkan syarikat lain jika melancong secara bersendirian atau berkumpulan melalui terminal Stulang Laut-Harbour Bay Batam.

“Kebiasaannya harga tiket feri saja mencecah RM110 seorang tidak termasuk kos sewa hotel, makan minum, hiburan, teksi atau kereta persendirian selain upah pemandu pelancong,” katanya.

Jamaludin berkata, pihaknya menyediakan perkhidmatan ulang alik dari Johor Bahru ke Harbour Bay Batam empat kali sehari selain sekali sehari bagi perjalanan dari Terminal Tanjung Belungkor Kota Tinggi ke Harbour Bay Batam.

“Feri dari Terminal Stulang Laut ke Harbour Bay Batam bertolak pada 7.30 pagi, 11.30 pagi, 2.30 petang dan 6.15 petang setiap hari manakala feri pulang pula bertolak pada 7.45 pagi, 10.45 pagi, 1.45 tengah hari dan 4.45 petang setiap hari.

“Bagi feri di Tanjung Belungkor ke Harbour Bay Batam bertolak pada 9.15 pagi dan kembali semula pada 4.15 petang setiap hari.

Jamaludin berkata, untuk tempahan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghantarkan e-mel ke [email protected] atau menghubungi 07-8276331, 06-2346555, 013-6616167 (Ila), 013-6063406 (Ruby) dan 018 5890208.

“Orang ramai juga boleh melayari laman Facebook kami Ferry Mutiara Mas Batam dan Twitter Feri MV Mutiara Mas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 6:41 AM