KENDERAAN pacuan empat roda milik bomba terjatuh ke dalam cerum sedalam 15 meter akibat jalan runtuh.
KENDERAAN pacuan empat roda milik bomba terjatuh ke dalam cerum sedalam 15 meter akibat jalan runtuh.

Dungun: “Saya menjerit meminta semua rakan bersedia sebelum kenderaan kami terhumban dalam gaung,” kata Mohd Faisal Mohd Fauzi, 36, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) selepas dia bersama tiga rakan lain terbabit dalam kemalangan di Jalan Jongok Batu-Pasir Raja, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, dia bersama pegawainya, Aziz Mohamad, 54, serta dua rakan setugas, Maharazin Mohd Sauk, 36, dan Mohd Fadzil Mohd Jamal, 26, dalam perjalanan menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Syukur dekat sini.

Dia yang memandu kenderaan itu berkata, bomba menerima panggilan kira-kira jam 1.15 pagi sebelum dia menunda sebuah bot penyelamat di belakang pacuan empat roda lalu bertolak ke tempat kejadian.

“Dalam perjalanan hujan agak lebat dan kami menempuh beberapa lokasi jalan yang ditenggelami air dan keadaan jalan gelap menyebabkan kami terpaksa memperlahankan kenderaan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya terkejut apabila mendapati jalan di depan runtuh dan meminta semua rakan bersedia sebelum menekan brek dengan kuat,” katanya ketika ditemui di Hospital Dungun, semalam.

Katanya, tindakannya itu gagal selepas kenderaan dipandu meluncur laju sebelum pacuan empat roda terbabit terhumban dalam gaung sedalam kira-kira 15 meter.

“Ketika itu hujan sangat lebat dan berteriak nama masing-masing dalam kesakitan. Sejam selepas itu baru orang ramai datang memberikan pertolongan,” katanya.

Menurutnya, semua mereka kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan AMBS dengan pacuan empat roda milik penduduk sebelum dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

“Saya bersyukur kami hanya cedera ringan dan berharap Maharazin yang patah tulang belakang selamat dan cepat sembuh. Kami rela berdepan pelbagai risiko bagi menyelamatkan nyawa orang awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:05 AM