MAS Ermieyati (tengah) bersama pelajar yang menerima kelengkapan persekolahan.
MAS Ermieyati (tengah) bersama pelajar yang menerima kelengkapan persekolahan.

Alor Gajah: “Kritikan dalam perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 bermula Selasa ini perlu bagi memperbaiki kelemahan dan kepincangan dalam parti,” Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Menurutnya, jika hanya kata-kata bodek dan pujian dilemparkan, ia dikhuatiri boleh membawa kepada kehancuran parti. Oleh itu, perwakilan perlu menggunakan platform sedia ada dengan memberi kritikan dan cadangan membina bagi menaikkan semangat ahli parti untuk terus ke depan.

“Kritikan dan cadangan membina diperlukan supaya kita dapat memahami keadaan parti sekarang yang tidak selesa, tidak seperti satu ketika dulu kerana kita kini berdepan pelbagai cabaran khususnya tindakan pembangkang yang melemparkan pelbagai fitnah untuk meruntuhkan parti.

“Jika hanya kata-kata bodek dan pujian diberi, saya bimbang akan membawa ia kepada kejatuhan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada golongan kurang berkemampuan di sekitar Masjid Tanah di Dewan Komuniti Paya Rumput, di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, seramai 235 pelajar dari 47 sekolah menerima bantuan kelengkapan sekolah anjuran Sekretariat Pendidikan Parlimen Masjid Tanah.

Mas Ermieyati berkata, perwakilan UMNO perlu berani bersuara dan menegur sebarang kepincangan dalam parti dan bukan sekadar memberi pujian melambung kepada pemimpin ketika berbahas pada perhimpunan.

“Saya juga menekankan kepada pewakilan supaya menyuarakan kritikan atau cadangan serta menerimanya sebagai kritikan membina bagi menambah baik segala kelemahan yang ada.

“Kami juga akan membawa isu pengangguran dalam kalangan generasi muda sebagai usul untuk dibincangkan,” katanya.

Mengenai sumbangan berkenaan, Mas Ermieyati mengalu-alukan pembabitan orang ramai untuk menyumbang buku, bahan bacaan dan komputer ke perpustakaan mini di Pusat Khidmat Parlimen Masjid Tanah.

“Perpustakaan ini diuruskan oleh Sekretariat Pendidikan Masjid Tanah yang dibuka kepada semua bagi tujuan ulang kaji mahupun aktiviti membabitkan pelajaran.

“Ia memperluaskan lagi fungsi pusat khidmat di kawasan Parlimen ini untuk membantu masyarakat di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:10 AM