Nur Saliawati Salberi


SEMUA pihak termasuk media diminta bersabar dan memberi ruang secukupnya kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin menenangkan fikiran sebelum menjawab pelbagai desakan termasuk memintanya melepaskan jawatan Ahli Parlimen yang dimenanginya atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pegawai khasnya, Norehan Bahari berkata, keputusan dibuat Mas Ermieyati keluar UMNO dan mahu menjadi Ahli Parlimen Bebas juga mengejutkan ramai pihak, termasuk individu terdekat dengannya.

Katanya, susulan itu, pelbagai pihak mahu Mas Ermieyati menjawab segala desakan dibuat terhadapnya.

“Saya sendiri gagal menghubunginya, selain tidak tahu lokasi sebenar beliau berada kini.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada 23 Jun lalu sewaktu Mesyuarat Perwakilan. Saya difahamkan, beliau kini berada di luar negara dan akan pulang bagi menjawab segala desakan itu pada minggu depan.

“Diharap semua dapat bersabar kerana sudah pasti keadaan ini tidak mudah untuk dirinya juga,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Usaha untuk menghubungi Mas Ermieyati juga gagal kerana telefon bimbitnya ditutup.

Norehan berkata, bekas Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu pasti mempunyai sebab mengapa bertindak mengumumkan keluar UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas bermula 1 Julai lalu.

Akhbar sebelum ini melaporkan, tiada sebarang peruntukan undang-undang boleh menghalang mana-mana wakil rakyat menyertai parti lain atau keluar menjadi wakil Bebas.

Peguam yang juga penasihat undang-undang BN dan UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun dilaporkan berkata, tiada mana-mana parti politik termasuk UMNO boleh menghalang wakil rakyatnya melompat parti berdasarkan perundangan negara.

Berita berkaitan

YB Mas Ermieyati, sila letak jawatan - UMNO Masjid Tanah

UMNO sudah 'tergelincir' - Mas Ermieyati

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 7:26 PM