SAUDARA kepada mangsa, Anton Kotte dan Piet Ploeg (kanan) berpelukan selepas keputusan perbicaraan MH17 di Badhoevedorp, Belanda. FOTO EPA
SAUDARA kepada mangsa, Anton Kotte dan Piet Ploeg (kanan) berpelukan selepas keputusan perbicaraan MH17 di Badhoevedorp, Belanda. FOTO EPA
AFP

Moscow: Rusia mendakwa keputusan mahkamah Belanda memutuskan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 adalah bermotifkan politik, dan percaya mahkamah berada di bawah tekanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Keputusan prosiding menunjukkan ia berdasarkan perintah politik untuk mengukuhkan versi yang dipromosikan oleh The Hague dan sekutunya," kata kementerian luar dalam satu kenyataan.

"Kami amat kesal kerana Mahkamah Daerah The Hague mengabaikan prinsip keadilan yang tidak berat sebelah demi situasi politik semasa, sekali gus menjejaskan reputasi keseluruhan sistem kehakiman Belanda," kata Moscow.

Kementerian Luar Negeri juga berkata, mahkamah berada di bawah "tekanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini" daripada ahli politik, pendakwa raya dan media Belanda.

Moscow berkata, perbicaraan di Belanda boleh mencatat sejarah sebagai "salah satu yang paling memalukan dalam sejarah prosiding undang-undang dengan pelbagai keanehan, ketidakkonsistenan dan hujah pendakwaan yang meragukan."

Awal Khamis, mahkamah Belanda mensabitkan tiga lelaki bersalah daripada tuduhan menjatuhkan pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada 2014.

Warga Rusia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky, serta Leonid Kharchenko dari Ukraine didapati bersalah atas pembunuhan dan dengan sengaja menyebabkan sebuah pesawat terhempas, manakala Oleg Pulatov dari Rusia tidak bersalah, kata ketua hakim Hendrik Steenhuis.

Tiga yang pertama dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dalam prosiding yang diadakan secara in absentia (tanpa kehadiran tertuduh).

Moscow menafikan semua pembabitan dalam nahas itu, malah menolak untuk mengekstradisi mana-mana suspek, mengatakan ia adalah haram di bawah undang-undang Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 10:20 AM