JOHN McAfee. FOTO fail EPA
JOHN McAfee. FOTO fail EPA
AFP

Madrid: Pengasas perisian antivirus, John McAfee ditemukan mati dalam sel kurungannya di Penjara Brians 2 berhampiran Barcelona dipercayai kerana membunuh diri.

Lelaki berusia 75 tahun itu meninggal dunia beberapa hari selepas mahkamah meluluskan ekstaradisinya ke Amerika Syarikat (AS) membabitkan kesalahan cukai.

Menurut jurucakap penjara, McAfee disahkan meninggal dunia kira-kira 7 malam waktu tempatan.

Jabatan Kehakiman wilayah Catalonia dalam satu kenyataan berkata, siasatan berhubung kejadian itu akan dijalankan segera.

"Pengawal dan kakitangan perubatan cuba menyelamatkan beliau namun doktor mengesahkan kematiannya," menurut kenyataan itu.

McAfee dipenjara di Sepanyol selepas ditahan di Lapangan Terbang Barcelona pada Oktober tahun lalu sebelum menaiki penerbangan ke Istanbul.

Beliau didakwa atas kesalahan membabitkan percukaian antara 2014 dan 2018 selepas memperoleh pendapatan jutaan euro hasil konsultasi, mata wang kripto dan penjualan hak berhubung kisah hidupnya. Sekiranya disabit bersalah, McAfee berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun.

Menurut permohonan ekstradisi dikemukakan AS pada November lalu, McAfee meraih pendapatan lebih 10 juta euro (kira-kira RM49 juta) antara 2014 dan 2018, namun gagal memfailkan cukai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 9:36 AM