TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan wanita itu membersihkan buaya sebelum membunuh haiwan dan memasak dagingnya.
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan wanita itu membersihkan buaya sebelum membunuh haiwan dan memasak dagingnya.
Agensi

Beijing: Seorang wanita dari bandar Chongqing di tengah barat China mencuri perhatian netizen selepas menunjukkan cara membunuh buaya dan menyediakan hidangan daripada daging haiwan itu, lapor The Straits Times.

Tindakan wanita itu dikenali sebagai Chu Niang Xiao Hei memuat naik video itu di media sosial Douyin, mengundang kecaman.

Vlog yang diikuti lebih 3.5 juta pengikut itu mendapat reaksi negatif dan menimbulkan persoalan mengenai kekejaman terhadap haiwan.

Menerusi video itu, wanita berkenaan menunjukkan proses mencuci, memisahkan kulit dan tulang dari buaya dengan berat lebih 90 kilogram (kg) itu.

Daging buaya itu kemudiannya digunakan untuk menyediakan pelbagai hidangan. Selain itu, wanita terbabit memuji kecantikan kulit haiwan berkenaan.

Kebanyakan pengguna media sosial meluahkan rasa tidak bersetuju mereka terhadap video berkenaan.

Mereka menganggap pembunuhan buaya itu sebagai tindakan yang tidak berfaedah yang bertujuan untuk menarik perhatian pengikut di media sosial.

Dalam usaha untuk mempertahankan tindakannya, wanita itu mendakwa bahawa buaya dalam video itu dipelihara supaya kulit haiwan itu boleh digunakan untuk penghasilan produk.

Kenyataan itu sedikit pun tidak menenangkan orang ramai yang terus mengkritik tindakannya itu.

Ramai yang mempersoalkan sama ada pembunuhan kejam terhadap haiwan seperti itu patut dibenarkan, dan jika ia bertentangan dengan undang-undang.

Tidak terkecuali platform perkongsian video juga dikritik kerana membenarkan video itu disiarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 11:03 AM