FOTO pada 14 Februari menunjukkan tanah yang tercemar susulan insiden di janakuasa nuklear Fukushima Daiichi pada 2011, diletakkan dalam kawasan simpanan khas. FOTO AFP
FOTO pada 14 Februari menunjukkan tanah yang tercemar susulan insiden di janakuasa nuklear Fukushima Daiichi pada 2011, diletakkan dalam kawasan simpanan khas. FOTO AFP
BERNAMA

Seoul: Korea Selatan dan Jepun akan mengadakan rundingan peringkat kerja pada Selasa bagi membincangkan permintaan Seoul berhubung rancangan Tokyo untuk melepaskan air tercemar dari loji kuasa nuklear Fukushima, lapor Agensi Berita Yonhap.

Rundingan peringkat ketua pengarah itu berlangsung di Jepun, hari ini, sebagai sebahagian daripada langkah susulan kepada keputusan sidang kemuncak dua hala yang berlangsung di luar sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Vilnius, Lithuania, awal bulan ini.

Semasa sidang kemuncak antara Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pada 12 Julai, Yoon meminta Tokyo untuk memasukkan pakar Korea Selatan dalam pasukan pemantauan pelepasan air berkenaan.

Sebelum ini, Yoon mahu pelepasan dihentikan serta-merta jika kepekatan bahan radioaktif di dalam air melebihi paras standard dan Jepun segera memaklumkan Korea Selatan.

Kesihatan dan keselamatan orang ramai harus menjadi pertimbangan utama dalam melepaskan air ke laut, kata beliau.

Kedua-dua negara sebelum ini mengadakan perbincangan peringkat kerja mengenai isu air Fukushima di Seoul pada Mei.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mempunyai keutamaan dalam memutuskan sama ada untuk memasukkan pakar Korea Selatan dalam pasukan pemantauan air, tetapi ia memerlukan kerjasama daripada pihak berkuasa Jepun dalam membuat keputusan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 10:59 AM