PENDUDUK terjejas susulan gempa bumi di Cianjur, Indonesia menerima bekalan air bersih yang disediakan oleh bomba. FOTO EPA
PENDUDUK terjejas susulan gempa bumi di Cianjur, Indonesia menerima bekalan air bersih yang disediakan oleh bomba. FOTO EPA
AFP

Jakarta: Penduduk yang terselamat susulan gempa bumi di Indonesia yang mengorbankan sekurang-kurangnya 268 orang, memohon bantuan makanan dan minuman, pada Rabu.

Ia ketika penyelamat bertungkus lumus menjalankan operasi pencarian di kawasan perkampungan meskipun harapan untuk dapat menjumpai mangsa yang terselamat, dilihat tipis.

Rayuan itu ketika pihak berkuasa memberi amaran sisa daripada tanah runtuh disebabkan oleh gempa bumi berhampiran bandar Cianjur, Jawa Barat, perlu dibersihkan sebelum cuaca hujan lebah yang dijangka melanda dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Dua hari selepas bencana itu, penduduk masih mencari barangan berharga milik mereka termasuk foto keluarga, buku agama dan sijil perkahwinan.

"Walaupun ada bantuan yang sampai, ia tidak mencukupi. Kami menerima beras, mi segera, air mineral tetapi ia tidak cukup," kata Mustafa, 23, penduduk Kampung Gasol kepada AFP.

Dia sudah menggali di kawasan runtuhan rumah jirannya selepas diminta berbuat demikian oleh jirannya itu.

Lelaki itu hanya menjumpai pakaian sebelum mengambil beras, dapur gas dan kuali.

"Kami tidak mempunyai pakaian dan sudah tidak bertukar pakaian sejak beberapa hari, jadi saya mencari di sebalik runtuhan untuk mencari pakaian," katanya lagi.

Kerajaan sudah menghantar khemah dan barangan keperluan ke Cianjur untuk penduduk yang hilang tempat tinggal.

Namun, ada penduduk yang meminta kerajaan supaya menghantar lebih banyak bantuan kerana jumlah itu tidak mencukupi.

"Anak saya demam dan dia tidak boleh makan. Ada banyak kanak-kanak dan orang tua di sini. Kanak-kanak memerlukan susu, lampin, makanan dan ubat," kata Yunisa Yuliani

Indonesia sering mengalami tanah runtuh dan banjir kilat ketika musim hujan, yang sudah bermula dan dijangka mencapai kemuncaknya di Jawa Barat, pada akhir Disember.

Selain itu, ribut petir dijangka di Cianjur dalam beberapa minggu lagi.

Agensi meteorologi Indonesia memberi amaran bahawa bencana alam lain seperti tanah runtuh mungkin berlaku di Cianjur, susulan gempa bumi berkenaan.

Selain itu, ia menyatakan terdapat 145 gempa susulan, dengan magnitud antara 1.2 hingga 4.2

Pada Selasa, penduduk Cianjur mula melakukan upacara pengebumian mangsa selepas menuntut mayat dari rumah mayat.

Gempa bumi pada Isnin itu adalah gempa bumi terburuk di Indonesia sejak bencana sama pada 2018 yang menyebabkan tsunami dan membunuh kira-kira 4,000 orang di Sulawesi.

Selain itu, gempa bumi bermagnitud 6.2 menggegarkan Pulau Sulawesi pada Januari 2021 dan mengorbankan 100 orang dan menyebabkan ribuan hilang tempat tinggal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 2:04 PM