LIN
LIN
Agensi

Beijing: Ganti mayat untuk dibakar. Itu yang berlaku selepas seorang lelaki kurang upaya (OKU) diculik, dipaksa minum alkohol, dibunuh dan mayatnya diletakkan di dalam keranda untuk diganti dengan mayat lain.

Semua kerana ingin memenuhi keinginan satu keluarga kaya di bandar Shanwei yang berhasrat mengebumikan ahli keluarga mereka.

Newsweek melaporkan keluarga Huang dari wilayah Guangdong, selatan China membayar 107,000 yuan (RM67,296) bagi mendapatkan mayat pengganti untuk memenuhi keinginan si mati untuk dikebumikan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan Shanwei mewajibkan mayat dibakar sejak 2012 untuk mengatasi masalah kekurangan tanah.

Menurut mahkamah, pembunuh dikenali sebagai Huang berurusan dengan dua orang tengah, Dai dan Wen.

Mereka didatangi keluarga seorang lelaki yang mati akibat barah pada 19 Februari 2017.

Kedua-duanya mengaturkan seseorang untuk mencari mayat pengganti dan menemui mangsa, Lin, 36, yang mempunyai masalah mental yang ketika itu sedang mengumpulkan botol arak untuk dijual.

Huang memperdaya mangsa menaiki van putih dan membeli enam botol alkohol yang kuat dan memaksa lelaki itu minum sehingga tidak sedarkan diri.

Dia dibawa ke satu kawasan, diletakkan di dalam keranda, dibunuh sebelum keranda itu dipaku.

Mahkamah Shanwei diberitahu, Huang kemudian memaklumkan kepada Wen, bahawa keranda sudah siap dan mayat ahli keluarga berkenaan sudah ditukar dengan mayat lain.

Jenazah Lin dihantar ke krematorium tempatan, manakala keluarga itu menjalankan pengebumian ahli keluarga mereka di satu lokasi rahsia.

Huang ditahan pihak berkuasa pada November 2019 selepas pegawai penyiasat menyelesaikan kes orang hilang berdasarkan bantuan kamera trafik dan dijatuhkan hukuman mati.

Dia bagaimanapun membuat rayuan.

Wen - yang kini meninggal dunia - mendakwa dia tidak mengetahui apa-apa mengenai penggantian itu dan tidak dikenakan sebarang hukuman.

Sementara itu, pihak berkuasa menyita wang yang dibayar oleh Huang dan tuntutan sivil yang difailkan ibu Lin dibatalkan selepas dia bersetuju membayar ganti rugi 70,000 Yuan (kira-kira RM44,176).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 7:20 AM