Renjer Jabatan Taman Negara Thailand melalui bandar Mae Sam Laep yang terletak berhampiran dengan sempadan Myanmar. FOTO AFP
Renjer Jabatan Taman Negara Thailand melalui bandar Mae Sam Laep yang terletak berhampiran dengan sempadan Myanmar. FOTO AFP
BERNAMA

Bangkok: Thailand memperuntukkan 800,000 dos vaksin Covid-19 untuk anggota barisan hadapan termasuk pegawai keselamatan di sempadan utara negara itu bagi menghadapi kemungkinan kebanjiran pelarian Myanmar serta mengekang penularan wabak itu.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Thailand (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, Kementerian Kesihatan Awam akan mengedarkan vaksin itu kepada kawasan berisiko di wilayah utara negara itu susulan laporan bahawa pelarian Myanmar menyeberangi sempadan.

"Anggota barisan hadapan sentiasa berkontak rapat dengan orang yang melintas sempadan. Oleh itu, mereka perlu menerima suntikan vaksin dengan secepat mungkin," katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini, semalam.

Terdahulu, media tempatan Myanmar melaporkan tentera negara itu melancarkan serangan udara di wilayah Karen Ahad lalu menyebabkan sehingga 3,000 penduduk kampung melarikan diri ke dalam hutan dan menyeberang ke Thailand.

Semalam, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha berkata negaranya sedia memberi perlindungan kepada pelarian Myanmar atas prinsip kemanusiaan.

Dalam pada itu, Dr Apisamai berkata, 100,000 penduduk Phuket akan diberi suntikan vaksin sebelum pulau peranginan itu menerima kedatangan pelancong bermula 1 Julai ini.

Phuket bercadang mengecualikan kuarantin mandatori kepada pelancong asing yang diimunisasi masuk ke negara itu bagi membantu memulihkan industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

"Ini bagi memastikan keselamatan penduduk tempatan dan pelancong asing yang masuk ke negara ini," katanya.

Pihak berkuasa pelancongan Thailand menjangka sekurang-kurangnya 10,000 pelancong melawat Phuket pada suku ketiga tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 10:38 AM