SEORANG polis Indonesia berjaga di luar sebuah gereja selepas letupan di Makassar. FOTO AFP
SEORANG polis Indonesia berjaga di luar sebuah gereja selepas letupan di Makassar. FOTO AFP

Jakarta: Presiden Joko Widodo mengarahkan Ketua Polis Indonesia, Listyo Sigit Prabowo untuk menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan kejadian serangan bom berani mati yang berlaku semalam.

"Saya sudah arahkan Listyo untuk menyiasat jaringan pelaku secara menyeluruh dan membongkar rangkaian itu sehingga ke akar umbi," katanya dalam kenyataan rasmi, semalam.

Menurutnya, keganasan adalah kejahatan terhadap manusia dan semua ajaran agama menolak keganasan dengan apa alasan sekalipun.

"Seluruh negara tidak akan membenarkan tindakan keganasan seperti itu," katanya seperti dilaporkan Kompas.

Oleh itu, Jokowi berkata, beliau meminta orang ramai untuk tetap tenang dalam menjalankan ibadah kerana negara menjamin keselamatan orang ramai untuk beribadah tanpa rasa takut.

Presiden juga mengecam keras tindakan keganasan yang mengakibatkan 14 individu cedera.

"Saya mengajak semua anggota masyarakat untuk bersama-sama memerangi keganasan, radikalisme yang bertentangan dengan nilai-nilai agama, nilai-nilai murni kita sebagai sebuah negara yang menjunjung tinggi nilai-nilai ketuhanan dan kepelbagaian.

"Untuk mangsa yang cedera, kami berdoa untuk penyembuhan segera dan semua kos perubatan dan rawatan untuk mangsa akan ditanggung sepenuhnya," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 10.20 pagi waktu tempatan, satu letupan berlaku di hadapan gereja yang dipercayai daripada pengebom berani mati.

Terdapat 14 mangsa yang cedera dan tiada kematian berlaku di kalangan petugas atau anggota gereja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 6:30 AM