TRUMP muncul di sebuah konvensyen dengan menjual kasut sniker bernilai AS$540 (RM2,587.95). FOTO AFP
TRUMP muncul di sebuah konvensyen dengan menjual kasut sniker bernilai AS$540 (RM2,587.95). FOTO AFP
Agensi

Pittsburgh: Bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, baru-baru ini, muncul di sebuah konvensyen dengan menjual kasut sniker (sneakers) bernilai AS$540 (RM2,587.95).

Trump naik ke pentas di Sneaker Con sambil menunjukkan kasut emas yang dipanggil Never Surrender High-Top, yang mengikut jejak produk berjenama Trump seperti Trump Air, Trump Vodka dan Trump Steaks.

"Wah, ada banyak emosi dalam bilik ini.

"Kita akan mengingati golongan muda, kita akan ingat Sneaker Con," katanya selepas diejek dan menerima sorakan daripada penonton sehingga menenggelamkan suaranya ketika bercakap.

Kemunculan Trump itu, hanya beberapa jam sebelum perhimpunan kempen yang dijadualkan di Michigan, usaha terbaharu bekas presiden itu untuk memanfaatkan jenamanya ketika beliau berdepan hukuman pemenjaraan dalam kes mahkamah sivil dan 91 pertuduhan jenayah membabitkan empat dakwaan jenayah.

Hanya dalam tempoh setahun lalu, dia mempromosikan kad dagangan, syot wajah (mug shot), pakaiannya dan senjata api yang tertera nama dan wajahnya.

Laman web yang menjual kasut itu mengatakan ia tidak direka, dihasilkan, diedarkan atau dijual Donald J Trump.

Katanya, GetTrumpSneakers.com bukanlah berkaitan politik dan tiada kaitan dengan sebarang kempen politik.

Namun, syarikat itu menggunakan jenama Trump melalui perjanjian pelesenan, apabila bekas presiden itu kemungkinan besar akan mendapat pulangan daripada hasil jualan produk berkenaan.

Mengikut keterangan dalam laman web, kasut sukan itu dijual sebagai 'berani, emas dan lasak' sama seperti Presiden Trump.

Ia disalut hampir keseluruhannya dengan emas termasuk tali kasut dan lencana T melambangkan Trump dan bendera AS.

Penulis pakaian lelaki, Derek Guy, yang menulis secara meluas mengenai gaya ahli politik, menggelar promosi itu sebagai memalukan.

Minggu lalu, Mahkamah Agung New York mengarahkan Trump membayar penalti AS$355 juta (RM1.7 bilion) atas dakwaan kes penipuan perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 11:34 AM