AFP

Mexico City: Seramai 14 anggota tentera laut terbunuh apabila helikopter yang dinaiki terhempas di barat laut Mexico, semalam.

Tentera laut berkata, pesawat itu membawa 15 anggota dan satu-satunya mangsa yang terselamat sedang menerima rawatan perubatan selepas nahas di negeri Sinaloa itu.

Katanya, pada masa kejadian, helikopter itu menjalankan aktiviti operasi yang tidak ditentukan dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mencari punca nahas.

"Sebuah helikopter Black Hawk kemalangan yang puncanya tidak diketahui buat masa ini.

"Tentera laut berkabung atas kematian mereka yang kehilangan nyawa dalam kemalangan ini yang dalam hayat mereka memberikan perkhidmatan dan dedikasi kepada negara," kata kenyataan berkenaan.

Dalam pada itu, mereka berkata nahas itu dipercayai tiada kaitan dengan penangkapan seorang ketua dadah terkenal yang dikehendaki Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat kerana membunuh seorang ejen penyamaran AS.

Rafael Caro Quintero didakwa AS kerana mengarahkan penculikan, penyeksaan dan pembunuhan ejen khas Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) Enrique 'Kiki' Camarena pada 1985.

Dia ditahan oleh marin Mexico di bandar Choix di Sinaloa.

TENTERA Mexico memeriksa bangkai helikopter tentera laut yang terhempas di Sinaloa. FOTO AFP
TENTERA Mexico memeriksa bangkai helikopter tentera laut yang terhempas di Sinaloa. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 9:55 AM