BELLA masih bernyawa selepas dimasukkan ke dalam keranda untuk majlis pengebumian. FOTO Agensi
BELLA masih bernyawa selepas dimasukkan ke dalam keranda untuk majlis pengebumian. FOTO Agensi
Agensi

Quito: Mengejutkan apabila wanita di Ecuador yang disahkan meninggal dunia 'bangkit' dari dalam kerandanya.

Mirror UK melaporkan, Bella Montoya, 76, dibawa ke Hospital Martin Icaza di Babahoyo di sini oleh anaknya pada pagi Jumaat lalu, selepas dia mengadu tidak sihat.

Anak lelakinya, Gilbert Rodolfo Balberan Montoya berkata, ibunya itu mempunyai beberapa penyakit termasuk berkaitan jantung dan hipertensi.

Tiga jam kemudian, Gilbert diberitahu ibunya sudah meninggal dunia.

Dia kemudian diberikan dengan sijil kematian yang mengatakan punca kematian ibu adalah kardiorespiratori disebabkan oleh penyakit serebrovaskular tidak dapat dikenal pasti.

Bella kemudian dimasukkan ke dalam keranda, kira-kira 2 petang.

Ahli keluarga membuka keranda itu kira-kira 4 petang untuk menukar pakaian wanita itu sebelum majlis pengebumian.

Bagaimanapun, Mirror UK melaporkan, menerusi rakaman video yang tular, Bella kemudian kelihatan bernafas dalam keadaan tercungap-cungap.

"Ibu saya mendapat oksigen. Jantungnya stabil. Doktor mencubit tangannya dan ibu bertindak balas.

"Doktor beritahu saya itu petanda yang baik kerana ini bermakna dia perlahan-lahan bertindak balas," kata Gilbert susulan kejadian berkenaan.

Difahamkan, Bella mengalami katalepsi, iaitu keadaan postur tegar yang berpanjangan, berlaku dalam keadaan seperti skizofrenia, autisme atau anoreksia.

Bella dibawa ke hospital dan ditahan di wad, sehingga keadaannya stabil iaitu pada hujung minggu.

"Saya perlahan-lahan menerima apa yang berlaku. Sekarang, saya hanya meminta kesihatan ibu saya bertambah baik. Saya mahu dia hidup dan berada di sisi saya," kata Gilbert.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 9:39 AM